Tiga warga Pakistan dalang sindiket palsu dokumen Imigresen diberkas

Pelbagai barangan termasuk dokumen termasuk passport yang dirampas.
Pelbagai barangan termasuk dokumen termasuk passport yang dirampas.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing dalam operasi khas pada 16 dan 17 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor.

"Operasi dijalankan berjaya memberkas tiga lelaki warganegara Pakistan berusia antara 32 hingga 56 tahun yang menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen berkenaan.

"Dua daripada tiga suspek berkenaan ditahan semasa sedang melaksanakan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, susulan daripada penangkapan itu, suspek membawa pasukan operasi ke sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan, Selangor pada 17 Ogos 2021.

"Hasil pemeriksaan dijalankan berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki 'maker' (pembuat dokumen palsu) kepada sindiket terbabit.

"Semakan dalam sistem jabatan mendapati dua suspek adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang tamat tempoh dan seorang lagi suspek memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang disyaki palsu," katanya.

Menurutnya, tangkapan itu juga mendedahkan modus operandi sindiket dengan menyewa premis di kawasan perumahan mewah untuk dijadikan markas kegiatan serta tempat kediaman bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium untuk mencari pelanggan, menetapkan pertemuan dan lain-lain transaksi.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa dan lesen memandu," katanya.

Antara suspek yang berjaya diberkas dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia.
Antara suspek yang berjaya diberkas dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia.

Tambah beliau, sindiket tersebut memberi fokus kepada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara berkenaan mempunyai nilai tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah 'frequent traveller' ke negara-negara maju.

"Sindiket turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun lalu," katanya.

Tambahnya,sindiket menggunakan aplikasi WhatApps serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari dan berjumpa pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan pemalsuan PLKS terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kedai.

"Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket kepada pelanggan ialah sebanyak RM100 hingga RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran dikenakan bagi dokumen-dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport adalah dalam kadar RM100 hingga RM1,000," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pelbagai barangan turut dirampas dalam operasi yang dijalankan ini.

"Turut ditemui sebanyak 2,320 keping dokumen disyaki palsu, dua set komputer desktop, dua buah mesin pencetak, satu mesin laminate, satu pasport reader, lima keping Stamping Plate pelbagai negara.

"Selain itu turut dirampas 20 unit Silk Screen Frame pelbagai negara dan satu unit Silk Screen Printing Table serta dua buah kereta jenis Honda Civic dan Proton Waja," katanya.

Katanya, pihak kedutaan negara-negara terbabit telah mengesahkan bahawa dokumen-dokumen yang dirampas adalah palsu.

Tambahnya, salah seorang suspek utama juga pernah diusir dari Kanada pada tahun 2008 atas kesalahan imigresen.