X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Keganasan rumah tangga: Hanya 10 peratus terima khidmat guaman

Sharifah Shawati Syed Mohd sewaktu pelancaran Kempen Care 2gether Moelife #kamipeduli yang berlangsung secara maya pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Daripada 5,260 kes keganasan rumah tangga, hanya 10 peratus yang mendapat khidmat guaman bagi tujuan membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Penasihat Kehormat Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Sharifah Shawati Syed Mohd memberitahu, ia berikutan masih ramai wanita tidak tahu hak-hak mereka, malah buntu apabila berdepan dengan situasi tersebut.

“Kalau kita tengok peningkatan kes keganasan di Malaysia ketika pandemik Covid-19, ia sangat membimbangkan. Ramai wanita menjadi mangsa keganasan seperti penderaan fizikal, mental dan emosi.

“Ada juga antara mereka tidak tahu hak mereka dan bagaimana untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya melalui institusi perundangan.

“Malah, mereka takut untuk membawa perkara ini ke pengadilan disebabkan tidak mampu membiayai yuran guaman yang mencecah ribuan ringgit bagi setiap kes,” katanya pada pelancaran Kempen Care 2gether Moelife #kamipeduli yang berlangsung secara maya pada Rabu.

Kempen yang berlangsung selama tiga bulan bermula 1 September ini merupakan salah satu inisiatif jenama kesihatan, Moelife dengan kerjasama KWIM bagi membantu wanita khususnya golongan B40 membiayai yuran guaman syariah untuk menfailkan tuntutan hak mereka di Mahkamah Syariah.

Sementara itu, Presiden KWIM, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, kerjasama kempen tersebut bertujuan untuk melindungi wanita yang mengalami masalah rumah tangga melalui teras undang-undang supaya hak wanita yang teraniaya dapat ditegakkan sekali gus melindungi institusi kekeluargaan.

Datuk Normaziah Sheikh Mohamed
Datuk Normaziah Sheikh Mohamed

“Penderaan ini bukan bermaksud untuk fizikal sahaja, tetapi turut membabitkan mental seseorang. Saya terima kes sehingga ada isteri yang mengalami tekanan emosi disebabkan suami kerap bermain permainan video.

“Apa yang KWIM buat adalah dengan menasihati mereka terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan. Kalau tidak boleh diselesaikan juga, baru kita akan bawa perkara ini ke muka pengadilan dengan bantuan peguam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengasas Moelife, Muhamad Abdullah Al Amin berkata, bagi isteri yang dizalimi, mereka mempunyai hak yang boleh dituntut mengikut teras undang-undang.

Muhamad Abdullah Al Amin
Muhamad Abdullah Al Amin

“Justeru, kempen ini adalah untuk membantu wanita yang mempunyai masalah rumah tangga bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman di samping mempertahankan hak mereka dan perlindungan mengikut undang-undang sedia ada.

“Dengan berkonsepkan membeli dan membantu, pembeli akan mendapat poskad #kamipeduli sebagai tanda sokongan kepada kempen ini,” ujar Muhamad.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!