'Taliban bawa perubahan, jangan terpengaruh media fasik'

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM- Kumpulan Taliban melakukan sesuatu perubahan dalam pendekatan mereka dengan mengisytiharkan pengampunan terhadap kakitangan kerajaan yang berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat (AS).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mereka juga mengambil kaedah meraikan masyarakat pelbagai qabilah, suku kaum, mazhab Sunni dan Syiah.

“Sekali pun mereka mempunyai majoriti kaum Pashtun beraliran Sunni yang bermazhab Hanafi, perkara yang sangat menarik ialah mereka terus beristiqamah berjuang untuk menegakkan Islam.

“Kini wujudnya kepimpinan para ulama yang mendalami mazhab Hanafi dan perkembangan politik semasa dalam kalangan mereka yang memahami situasi semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada 16 Ogos lalu, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani berkata, pada Ahad selepas beliau melarikan diri dari negara itu, Taliban telah menang selepas pergerakan tersebut memasuki ke ibu kota Kabul.

Ghani melarikan diri ketika para pemberontak semakin hampir menawan ibu negara tersebut sebelum memasukinya dan mengambil alih Istana Presiden sekali gus mengecapi kemenangan.

Pada 21 Ogos, jurucakap gerakan itu memaklumkan, mereka merancang untuk menyediakan model baharu pemerintahan Afghanistan yang bakal menyaksikan pakar agama, dasar undang-undang dan dasar luar Taliban dijangka membentangkan kerangka pentadbiran baharu itu dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden juga kata Abdul Hadi memuji tindakan kumpulan tersebut yang membantu melancarkan pengunduran tentera Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah bantuan pihak Taliban dalam proses pemindahan pelarian yang mahu keluar dari Afghanistan yang terdiri daripada puak liberal dan mereka yang terpengaruh dengannya.

“Inilah langkah yang diambil daripada teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, apabila Baginda SAW berjaya membebaskan Makkah dalam peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Makkah),” ujarnya.

Jelas Abdul Hadi, umat Islam juga diharamkan daripada terpengaruh dengan media fasik. Sebaliknya, beliau menyarankan umat Islam supaya menuntut ilmu dengan merujuk daripada sumber yang sah bukan hanya bergantung kepada media yang menyebarkan berita yang salah dan jahil.