Warga emas 101 tahun mahu divaksin demi ibadah di masjid

Che Ismail ditemani cucunya, Mohd Jailani (kiri) ketika menerima suntikan pertama Covid-19 di PPV UniSZA pada Rabu.
Che Ismail ditemani cucunya, Mohd Jailani (kiri) ketika menerima suntikan pertama Covid-19 di PPV UniSZA pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang warga emas berusia 101 tahun akhirnya bersetuju menerima vaksin selepas mengetahui kelebihan suntikan itu yang diberitahu oleh cucunya selain untuk membolehkannya menunaikan ibadah di masjid.

Che Ismail Tahir yang ditemani dua cucu serta dua cicit menerima suntikan dos pertama vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, pada Rabu.

Cucunya, Mohd Jailani Harun, 52, berkata, sebelum ini datuknya pernah memberitahu belum bersedia mendapatkan suntikan vaksin.

"Saya telah mendaftarkan namanya bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa pertama namun waktu itu dia belum bersedia lagi (vaksinasi).

"Mujurlah selepas dipujuk dan diberi penerangan dia akhirnya yakin mengenai kelebihan dan kepentingan vaksin malah tidak takut untuk menerima suntikan," katanya.

Menurut Mohd Jailani, datuknya teruja mendapatkan suntikan vaksin selepas diberitahu boleh mendapatkannya secara 'walk in' di PPV UniSZA.

Katanya, datuknya lebih bersemangat untuk mendapatkan suntikan vaksin selepas memahami warga emas lebih berisiko terhadap Covid-19.

Sementara itu, Pengarah PPV Intergrasi UniSZA, Prof Dr Nik Arif Nik Mohamed berkata, program pemberian vaksin Covid-19 secara 'walk-in' di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak dibuka untuk penduduk Kuala Nerus termasuk individu beusia 18 tahun ke atas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keutamaan diberikan kepada warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU) selama tiga hari sejak Selasa.

Beliau berkata, sebanyak 400 khemah disediakan di luar dewan dan 600 kerusi dalam dewan bagi menampung kehadiran orang ramai ke sini dengan dibantu 250 petugas.

"Antara syarat lain termasuk mereka yang terlepas janji temu vaksinasi di UniSZA, belum mendapat janji temuvaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut," katanya.