Pasaran getah ditutup rendah seiring prestasi lemah serantau

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PASARAN getah Malaysia meneruskan kerugian yang dicatatkan pada Selasa untuk ditutup rendah Rabu sejajar dengan prestasi lemah di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata, pasaran turut terjejas kerana kejatuhan harga minyak mentah selain daripada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, penurunan itu disekat oleh sentimen yang lebih baik iaitu kenaikan dalam pasaran ekuiti global berikutan kemajuan pemberian vaksin Covid-19 yang memberangsangkan serta kebimbangan yang kian mereda terhadap pengurangan rangsangan Rizab Persekutuan AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu niaga hadapan getah Jepun jatuh pada Rabu selepas kerajaan negara itu dilaporkan akan memperluaskan perintah darurat untuk membendung peningkatan kes Covid-19 yang semakin mengancam sistem perubatan negara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, harga minyak mentah mereda buat seketika selepas bergerak rancak minggu ini, didorong oleh kehilangan seperempat daripada pengeluaran Mexico dan tanda-tanda China, pengimport terbesar dunia telah berjaya memerangi pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menambah pasaran saham Asia kebanyakannya lebih tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street semalaman, laporan vaksinasi Amerika Syarikat (AS) yang positif dan kebimbangan yang kian mereda terhadap pengurangan rangsangan Rizab Persekutuan AS, sekali gus meningkatkan harapan bahawa ekonomi global akan pulih lebih pantas daripada jangkaan.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 turun 6.5 sen kepada 711.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal tidak berubah pada 522.0 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 715.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 524.0 sen sekilogram. - Bernama

Artikel Berkaitan: