Polis kesan ibu, empat anak perempuan

Ibu bersama empat anak perempuannya diminta tampil untuk menjadi saksi perbicaraan di Mahkamah Sesyen Besut, pada 9 September ini (Foto: Ihsan IPD Setiu)
Ibu bersama empat anak perempuannya diminta tampil untuk menjadi saksi perbicaraan di Mahkamah Sesyen Besut, pada 9 September ini (Foto: Ihsan IPD Setiu)
A
A
A

SETIU - Polis mengesan seorang ibu bersama empat anak perempuannya yang merupakan saksi penting dalam perbicaraan kes sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata golok dalam kejadian pada Mei tahun lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, berkata, kelima-lima beranak ini, Intan Aziliana Arifin, 40, dan empat anak perempuannya masing-masing berusia antara 17 hingga tujuh tahun itu diminta hadir ke Mahkamah Sesyen Besut pada 9 September ini untuk perbicaraan kes mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, alamat terakhir mereka ialah di No 16, Jalan Kemboja, Taman Perumahan Agropolitan, Setiu, bagaimanapun, kesemuanya gagal dikesan sejak 25 Mei tahun lalu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Arizal Fiveroses Ghazali di talian 013-5121 312,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan pada Rabu.

Dalam kejadian 25 Mei tahun lalu, kira-kira jam 8 malam, suspek yang juga suami kepada wanita tersebut dikatakan mengamuk dengan menggunakan senjata golok sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada anak sulung mereka.

Mangsa, turut mengalami kecederaan ringan yang lain di beberapa bahagian anggota badan.

Kejadian itu disedari jiran mereka selepas terdengar suspek mengamuk di rumah pasangan tersebut.

Artikel Berkaitan: