17 kes masalah mental babit penjawat awam

Terdapat 17 kes membabitkan penjawat awam telah dirujuk kerana menghadapi masalah kesihatan mental berdasarkan rekod perkhidmatan kaunseling sehingga Julai tahun ini di negeri Selangor.- sumber foto 123RF
Terdapat 17 kes membabitkan penjawat awam telah dirujuk kerana menghadapi masalah kesihatan mental berdasarkan rekod perkhidmatan kaunseling sehingga Julai tahun ini di negeri Selangor.- sumber foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat 17 kes membabitkan penjawat awam telah dirujuk kerana menghadapi masalah kesihatan mental berdasarkan rekod perkhidmatan kaunseling sehingga Julai tahun ini di negeri Selangor.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, selain itu, sebanyak 420 kes tidak mengkhusus kepada isu kesihatan mental turut direkodkan dalam tempoh sama.

Menurutnya, 420 kes berkaitan dikendalikan menerusi perkhidmatan nasihat, bimbingan dan pra-kaunseling melalui kaedah dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp, Telegram, Facebook, Messenger dan lain-lain.

"Antara inisiatif kerajaan negeri Selangor dalam membantu para penjawat awam yang menghadapi masalah kesihatan mental adalah dengan mewujudkan laman web aturan janji temu Sistem Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (E-Psy Selangor) dan laman Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat.

"Inisiatif ini bagi memudahkan pelanggan membuat aturan janji temu bersama kaunselor di Pusat Kaunseling Selangor selain memudahkan akses serta maklumat-maklumat berkaitan perkhidmatan Pusat Kaunseling Selangor," katanya pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mazwan Johar (Amanah - Sungai Ramal) mengenai bilangan penjawat awam di Selangor yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan mental dan apakah kemudahan tersedia diberikan kerajaan negeri untuk membantu penjawat awam menghadapi masalah itu.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, selain itu, kerajaan juga mewujudkan cawangan Pusat Kaunseling Selangor di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terpilih.

Beliau berkata, PBT terbabit ialah di Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia bertujuan memudahkan lagi penjawat awam dan masyarakat untuk mendapatkan khidmat kaunseling bersama kaunselor dari Pusat Kaunseling Selangor berdasarkan janji temu yang telah ditetapkan lebih awal.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri juga menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan mental terutamanya di kala pandemik Covid-19 yang semakin mencatatkan kadar kes harian yang tinggi.

"Justeru, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah membangunkan sebuah inisiatif lebih holistik iaitu Selangor Mental Sihat (Sehat) dengan peruntukan berjumlah RM500,000," katanya

Sehat ialah program kesihatan mental yang lebih holistik dan mampan mencakupi aspek promosi, kesedaran, saringan awal, program intervensi, pembangunan modul dan latihan kaunselor melalui kerjasama sepasukan penyelidik.

............................

Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)