Selangor peruntuk RM250,000 bantu pemuzik jalanan

Gambar hiasan (Gambar kecil: Borhan Aman Shah)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Borhan Aman Shah)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk membantu kira-kira 500 pemuzik jalanan atau busker yang terjejas pendapatan mereka akibat Covid-19.

Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah berkata, inisiatif melalui projek Kita Buskers Selangor itu dimanfaatkan pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri.

“Daripada 2,000 yang berdaftar, hanya sekitar 500 masih aktif kerana sejumlah besar bertukar kerjaya dengan menjadi penghantar makanan dan sebagainya.

“Justeru mereka yang masih aktif akan mendapat manfaat daripada program ini seterusnya membantu meringankan bebanan kewangan dan emosi mereka akibat pandemik,” katanya ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Daroyah Alwi (PKR - Sementa) mengenai inisiatif kerajaan negeri dalam membantu pemain seni dan adat Melayu dalam menghadapi pendemik Covid-19.

Dalam pada itu, Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat berkata, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) akan mewujudkan muzium permainan di Kuala Selangor sebagai tarikan pelancongan terbaharu.

Beliau memaklumkan, persiapan kini pada tahap akhir memakan sedikit masa berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula sejak awal tahun.

“Apabila siap kelak, muzium ini bukan sahaja dijadikan pusat tarikan kesenian dan pelancongan malah menjadi pusat aktiviti permainan tradisional secara berkeluarga,” katanya sebagai menjawab pertanyaan mengenai bagaimana kerajaan membantu para pemain gasing pangkah tradisional dalam mengembangkan industri pelancongan warisan di Negeri Selangor.

Artikel Berkaitan: