Pemilihan TPM terserah kepada Ismail Sabri

Mohd Redzuan (dua dari kiri) menyerahkan selimut dan tilam kepada salah seorang penduduk di Kampung Masjid Teluk Kumbar, Balik Pulau pada Rabu.
Mohd Redzuan (dua dari kiri) menyerahkan selimut dan tilam kepada salah seorang penduduk di Kampung Masjid Teluk Kumbar, Balik Pulau pada Rabu.
A
A
A

BALIK PULAU - [DIKEMAS KINI] Pemilihan calon Timbalan Perdana Menteri perlu diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan pentadbiran negara dilaksanakan dengan baik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pemilihan perlu dibentuk dalam kalangan pemimpin yang boleh bekerjasama dengan Perdana Menteri bagi membolehkan kabinet berfungsi dengan sepatutnya.

"Jika pemilihan tidak boleh bekerjasama dengan beliau, maka kabinet tidak boleh berfungsi dengan sepatutnya. Jadi, terpulang kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di Kampung Masjid Teluk Kumbar, di sini pada Rabu.

Sebelum itu, beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) meninjau tiga lokasi kejadian banjir kilat di Teluk Kumbar, Sungai Burung dan Pulau Betong.

Beliau telah menyerahkan bantuan antaranya tilam, bantal dan wang tunai kepada 100 buah rumah di Parlimen Balik Pulau.

Diminta mengulas barisan kabinet yang bakal diumumkan nanti, Mohd Redzuan berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri untuk memilihnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak sekiranya dilantik sebagai salah seorang menteri buat kali ketiga berikutan banyak lagi tugas yang belum sempat diselesaikan ketika berada dalam kabinet pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Saya tidak tahu (nama dicalonkan) tetapi saya berharap kerana saya masih ada tugas yang belum diselesaikan sepenuhnya terutamanya berkaitan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Artikel Berkaitan:

"Kita berhadapan dengan cabaran waktu ini iaitu Covid-19, jadi kita kena ubah cara untuk kita laksanakan WKB2030, itu yang penting. Kita pun bukannya lama lagi nak adakan pilihan raya (umum).

"Adalah amat penting untuk kita ada kerajaan baharu. Saya tidak rasa kita boleh adakan dasar baharu, jika ada pun, mungkin hanya penambahbaikan terhadap kelemahan sebelum ini untuk kebaikan semua bangsa di negara kita," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, semua pemimpin perlu menolak perbezaan politik untuk berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.

"Apa yang penting, cabaran Covid-19 dan ekonomi pada hari ini amat besar. Kes pun sekejap naik sekejap turun.

"Saya berharap rakyat jaga diri sendiri selain bawa cadangan kepada kerajaan bagaimana kita boleh bekerjasama," katanya.