Wanita UMNO tumpu bantuan pasca bencana alam

Noraini (depan, dua dari kiri) meninjau di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai yang menempatkan 111 mangsa banjir pada Rabu.
Noraini (depan, dua dari kiri) meninjau di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai yang menempatkan 111 mangsa banjir pada Rabu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Wanita UMNO kini memberi tumpuan terhadap misi bantuan fenomena kepala air di Kedah dan pasca banjir di Perak bagi membantu mangsa yang terjejas.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, gerakan menerusi Skuad Sayang 3K Kebangsaan sentiasa bersedia menawarkan khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan yang terlibat bencana.

"Kita ada 300 jentera bergerak di kawasan Yan dan Merbok, Kedah membantu membersihkan rumah penduduk selain menghantar bakul makanan kepada masyarakat setempat tiga hari lalu.

"Setelah itu, kita turun membantu mangsa-mangsa banjir di Parlimen Bagan Serai dengan menghulurkan bakul makanan dan lain-lain," katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, di sini pada Rabu.

Menurutnya, Wanita UMNO di setiap bahagian sentiasa sedia dengan mengumpul kutipan dana untuk mangsa yang terlibat dengan bencana alam.

"Apabila kita hendak turun padang, kesemua dana yang dikumpulkan akan dimasukkan ke dalam tabung untuk diserahkan kepada mangsa melalui UMNO bahagian.

"Itu yang kita lakukan sebagai persiapan awal namun, apa yang perlu Wanita UMNO buat adalah sentiasa bersedia sekiranya ada bencana untuk kita tawarkan khidmat bakti kepada masyarakat setempat," katanya.

Sementara itu, Noraini enggan mengulas lanjut mengenai barisan kabinet baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai spekulasi pelantikan beliau itu.

Artikel Berkaitan:

6 Ogos lalu, Noraini menjadi menteri kedua daripada UMNO dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang melepaskan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Keputusan itu dibuat sebagai mematuhi pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu yang sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).