Azizulhasni terima ganjaran

A
A
A

KEJAYAAN jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menyumbang pingat perak buat Malaysia pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo terus dihargai apabila menerima insentif bernilai RM350,000 daripada kerajaan Terengganu pada Rabu.

Ganjaran itu berupa sebuah rumah teres setingkat bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif tersebut bagi menghargai jasa dan pengorbanan Azizulhasni yang berkorban masa dan keringat untuk mengharumkan nama negara dan negeri kelahirannya.

"Kepulangan beliau (Azizulhasni) bersama pingat perak adalah satu kebanggaan bagi anak Terengganu.

"Beliau membuktikan bahawa semua orang boleh mempunyai cita-cita tinggi, yang penting usaha keras dan sokongan daripada pelbagai pihak tanpa henti," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Kediaman Seri Iman, di sini pada Rabu.

Azizulhasni yang turut digelar ‘The Pocket Rocketman’ merangkul pingat perak di peringkat akhir acara keirin lelaki di Veldorum Izu, di Shizuoka, Tokyo, pada 8 Ogos lalu.

Sementara itu, Azizulhasni berkata, beliau amat berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas ganjaran yang diterimanya.

Menurut anak kelahiran Dungun itu, ganjaran tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk beliau meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2024 di Perancis nanti.

Artikel Berkaitan:

"Ganjaran ini juga akan menjadi motivasi kepada atlet negeri untuk lebih berjaya di peringkat antarabangsa.

"Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang tak putus-putus memberikan sokongan kepada saya dari awal hingga ke hari ini," katanya yang memasang impian untuk berbakti kepada anak negeri itu, khususnya dalam sukan berbasikal, satu hari nanti. - Bernama