Dua projek LRA di Raub alami sedikit kelewatan

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Dua daripada tiga projek loji rawatan air (LRA) di daerah Raub mengalami kelewatan daripada jadual asal kerana pandemik Covid-19.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun berkata, LRA Sungai Bilut yang menelan kos kontrak bernilai RM7,641,196.60 dijangka selesai pada 26 April tahun depan.

Menurutnya, kerja-kerja di LRA Sungai Bilut yang bermula 27 April lalu mengalami kelewatan tiga peratus daripada jadual sebenar manakala kerja-kerja di LRA Sungai Klau yang menelan belanja RM3,408,300 dijangka tamat pada 27 Februari 2022.

"Kerja-kerja bermula pada 22 Februari lalu tetapi berlaku kelewatan 4.42 peratus daripada jadual asal,” katanya ketika menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (DAP- Tras) pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Yu Hui dalam persidangan itu meminta penjelasan mengenai status projek RM18 juta yang diguna untuk mengatasi masalah kekeruhan air di ketiga-tiga loji rawatan air dan langkah diambil untuk membersihkan kekeruhan air sungai.

Wan Rosdy turut menjelaskan, kos bagi kerja LRA Sungai Semantan pula melibatkan sebanyak RM5,220,032.

"Kerja-kerja ini bermula 22 Februari lalu dan dijangka selesai pada 27 Februari tahun depan dan mengikut jadual," katanya.

Mengulas lanjut pertanyaan Yu Hui, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan RM18 juta bagi mengatasi masalah kekeruhan di tiga LRA di Sungai Semantan, Sungai Klau dan Sungai Bilut di daerah Raub.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peruntukan itu diluluskan bagi pembinaan tangki pra pemendapan di semua LRA terlibat di kawasan terbabit.

Jelasnya, tangki pra pemendapan ini berfungsi menakung air mentah yang keruh untuk tempoh masa tertentu.

"Proses pra rawatan air mentah yang ditakung ini akan menggunakan bahan kimia bersesuaian untuk merendahkan nilai kekeruhan dan boleh dirawat oleh LRA,” katanya.