PRK Semenyih: Lepas menang jangan hilang!

Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

SELEPAS dua minggu berpanas, berhujan, berkempen siang dan malam, akhirnya esok tibalah hari yang dinanti-nantikan penduduk Semenyih. Hari untuk mereka memilih wakil rakyat baru selepas pemergian Bakhtiar Md Nor pada 11 Januari lepas.

Empat calon dipertaruhkan. Semuanya lelaki, berbeza umur, berbeza latar belakang, berbeza ideologi hatta hala tuju perjuangan namun mereka memiliki impian sama. Pasti, mereka mengidamkan untuk diangkat sebagai juara di hati rakyat Semenyih pada malam esok.

Masa, tenaga bahkan wang dikorbankan sepanjang dua minggu berkempen. Semuanya pasti berbaloi andai undi rakyat memihak kepadanya namun bagi yang gagal, usah berduka kerana anda tetap menang di hati penulis dan hati sebahagian rakyat Semenyih juga.

Sesungguhnya, kerana PRK, sekelip mata Semenyih terkenal seantero Malaysia. Terletak di penghujung negeri Selangor, bersempadan pula dengan Negeri Sembilan, mungkin sebelum ini ada yang tidak tahu pun ada tempat bernama Semenyih.

Begitupun, dek kerana kehangatan PRK, banyak mata tertumpu ke Semenyih sekarang. Rakyat pastinya menantikan adakah kemenangan BN di Parlimen Cameron Highlands akan berterusan di sini atau adakah PH akan menebus kekalahan pada 26 Januari lepas?

Siapa menang? Biarlah rakyat Semenyih tentukannya. Hakikatnya, sepanjang kempen berlangsung, banyak juga cerita molek, kurang molek, tidak molek langsung menghiasi suasana namun secara keseluruhannya, semua berjalan lancar.

Bahkan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata secara keseluruhannya, kempen di Semenyih mempamerkan perbezaan positif kerana kurang menerima aduan.

"Apa yang dibangkitkan (aduan) bagi kempen (PRK) di Semenyih adalah sedikit dan berkurangan berbanding PRK Cameron Highlands malah tiada laporan SPRM diterima... hanya membabitkan laporan polis sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kalau ada sikit-sikit kontroversi, provokasi, usik-mengusik itu biasalah. Tak meriah pula kalau tiada langsung elemen sebegitu.

Ibarat masakan jugalah. Kalau hanya ada garam, tidaklah ‘padu’ rasanya. Elok kalau tambah gula sikit, perasa sikit, asam sikit dan yang lain-lain sikit maka sedaplah jadinya.

Bagaimanapun, antara perkara positif boleh diambil dalam PRK Semenyih adalah apabila melihat jentera semua calon bekerja dengan sangat baik dan profesional. Bukan saja bersungguh-sungguh malah mengawal emosi dengan baik, tidak mudah cetus provokasi.

Ada beberapa bilik gerakan, jaraknya tidak jauh dari parti lawan namun tidak pula dengar ada kes gaduh di situ. Provokasi, kontroversi dan usikan melampau juga boleh dikatakan tidak wujud sepanjang tempoh kempen.

Bahkan, kempen yang agak unik pun ada. Sebagai contoh, calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang memaparkan nombornya pada kain rentang bagi memudahkan penduduk Semenyih menghubunginya. Lain dari yang lain strategi aktivis masyarakat itu.

Sepanjang penulis bertugas dalam PRU dan PRK, tidak pernah lagi lihat corak kempen sebegini. Bagi calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul pula, beliau mengambil inisiatif berbeza dengan melancarkan lagu Somonyih Tompek Kito (Semenyih Tempat Kita).

Rancak juga lagunya, sedap juga bila dengar. Manakala calon BN dan PH pula masih mengekalkan cara lama, menziarah seramai mungkin pengundi dan menganjurkan beberapa siri ceramah membabitkan pemimpin tertinggi parti. Nampak menjadi juga strateginya.

Kempen PRK DUN Semenyih mungkin boleh dianggap lebih tenang, damai dan harmoni berbanding di Cameron Highlands. Boleh dikatakan tiada isu besar benar-benar menggemparkan netizen, yang kecil-kecil itu ada jugalah.

Dalam dua minggu ini juga, rakyat Semenyih menyaksikan ramai pemimpin utama negara turun ke kawasan mereka antaranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa menteri lain.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun ada, bukan sekali tapi berkali-kali datang ke Semenyih. Tak tahulah kenapa beliau begitu seronok ke Semenyih, di Cameron Highlands tidak pula begitu.

Rasa gembira, teruja, terharu mungkin memenuhi segenap ruang dalam hati rakyat kawasan ini selepas melihat ramai nama-nama besar meluangkan masa melawat kawasan mereka. Persoalannya, selepas selesai PRK, apa jadi kepada Semenyih?

Mengadu sudah, merayu sudah, meluah rasa sudah namun dapatkah yang menang sudahkan aduan, rayuan dan luahan rakyat? Dalam situasi ini, penulis tertarik dengan slogan Uncle Kentang, “Ubahlah Nasib Kamu, Janganlah Asyik Ubah Nasib YB (Yang Berhormat)”.

Nah, kalau penulis adalah YB, sejujurnya penulis akan terasa. Begitupun, ada benarnya kata-kata tersebut. Pengundi semestinya mahukan wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah mereka. Kalau selalu hilang, garu kepala dibuatnya.

Di Semenyih, isu kesesakan, jalan berlubang, banjir kilat dan pembinaan hospital perlu diberi perhatian. Individu yang menang malam esok, beliau harus memastikan semua masalah tersebut diberi perhatian istimewa, lebih baik jika selesaikan terus.

Rakyat tidak minta banyak, cukuplah jika kebajikan mereka dijaga, keluh-kesah mereka didengari, aduan mereka tidak dipandang sepi

Paling penting, siapa saja yang diangkat menjadi wakil rakyat pada malam esok, pastikan ‘jangan bila dah menang, selalu hilang pula’. Marah rakyat nanti!