ADUN Slim tidak dapat hadiri sidang DUN kerana positif Covid-19

Mohd Zaidi
Mohd Zaidi
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan tidak dapat menghadiri Persidangan Dewan Negeri yang berlangsung selama empat hari bermula pada Rabu.

Ketika dihubungi, Mohd Zaidi, 44, yang mengangkat sumpah jawatan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim mewakili Barisan Nasional (BN) tahun lalu memaklumkan perlu menjalani kuarantin sehingga 31 Ogos ini.

"Saya disahkan positif Covid-19 pada 22 Ogos lalu dan sekarang saya berada di rumah menjalani kuarantin sehingga tamat tempoh 31 Ogos nanti," katanya.

Dalam sidang media Isnin lalu, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memberitahu, tiga daripada 59 ADUN Perak tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan keselamatan disebabkan Covid-19.

Keputusan itu dibuat atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas ujian saringan Covid-19 yang dijalankan mendapati seorang ADUN positif Covid-19, seorang wakil rakyat telah diklasifikasikan sebagai kontak rapat manakala seorang lagi dikesan masih belum mendapatkan suntikan vaksin.

Dua lagi wakil rakyat terbabit adalah ADUN Kepayang, Dr Ko Chung Sen daripada DAP dan ADUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Muhamad (Parti Keadilan Rakyat).

Ko Chung Sen
Ko Chung Sen

Chung Sen memberitahu, meskipun hasil ujian saringan adalah negatif, beliau tetap mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin diri sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya saringan kedua saya jalankan pada Jumaat ini masih negatif, maka berkemungkinan pada Isnin depan saya boleh hadiri sidang DUN mengikut kebenaran Yang Dipertua Dewan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Arafat menjelaskan dirinya telah diberikan suntikan vaksin sepenuhnya.

"Cumanya tempoh belum lengkap 14 hari selepas dos kedua sepertimana ditetapkan MKN dan KKM," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Perak memperkenalkan dan mengguna pakai konsep gelembung pada Persidangan Dewan Negeri selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Muhammad Arafat berkongsi gambar telah menerima suntikan vaksin.
Muhammad Arafat berkongsi gambar telah menerima suntikan vaksin.