Covid-19: 22,642 kes baharu, Selangor rekod kes tertinggi

 Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Angka kes harian Covid-19 dalam negara tidak berganjak dari paras 20,000 apabila sebanyak 22,642 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi perkongsian data terkini jangkitan Covid-19 di laman Facebook dan Twitter, Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Malaysia kini 1,616,244.

Selangor masih mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 6,325 kes diikuti Sabah (3,224), Kedah (2,279), Johor (1,832), Sarawak (1,667), Pulau Pinang (1,427), Kelantan (1,424), Perak (1,390) dan Kuala Lumpur (1,128).

Negeri lain yang mencatat kes di bawah angka 1,000 adalah Terengganu dengan 744 kes, Pahang (522), Melaka (342), Negeri Sembilan (269), Perlis (44), Putrajaya (21) dan Labuan (4).

Malaysia kembali mencatat kes baharu di paras 20,000 dengan 20,837 kes pada Selasa.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya pula berkata, daripada 22,642 kes baharu itu, sebanyak 478 kes atau 2.1 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala sebanyak 22,164 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Secara keseluruhan, 18,143 kes atau 80.1 peratus daripada jumlah kes dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Beliau berkata, kes sembuh mencatatkan 20,798 kes menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,337,134 manakala kes aktif kini 264,292.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan seramai 1,003 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 490 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagi kes kematian baharu, beliau berkata, sebanyak 265 kematian dilaporkan melibatkan 219 warganegara dan 46 bukan warganegara dengan 69 kes adalah kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Mengenai 42 kluster baharu yang dikesan pada Rabu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 23 daripadanya melibatkan tempat kerja, komuniti (13), kumpulan berisiko tinggi (5) dan pusat tahanan (1).Berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan Covid-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia pada Selasa adalah sebanyak 1.02 dengan negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi ialah Perlis iaitu 1.28 diikuti Sarawak (1.22) dan Sabah (1.21).

Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0 kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan.