X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Ada jawatan atau tidak, saya tetap beri kerjasama: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal
A
A

IPOH - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan kecewa sekiranya tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, tanpa jawatan itu pun, dirinya tetap menyokong dan memberi kerjasama yang baik terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri terutama dalam pembentukan kabinet baharu.

"Saya tidak mungkin akan bersedih, sebaliknya gembira apabila Perdana Menteri dapat tubuhkan sebuah kerajaan yang stabil yang boleh mengeluarkan negara kita daripada kesengsaraan ekonomi dan kesusahan rakyat akibat Covid-19.

"Saya akan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada sesiapa juga yang bakal dilantik nanti.

"Perkara jauh lebih penting sekarang adalah sokongan kepada Perdana Menteri menubuhkan pasukan yang dapat menyokong dasar-dasar untuk dilaksanakan nanti," katanya sidang media yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom Meeting di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Ditanya mengenai pelantikan jawatan menteri, ahli Parlimen Tambun itu berkata, ia satu penghormatan buat beliau sekiranya diterima menganggotai kabinet baharu.

Katanya, ia akan menjadi satu tanggungjawab besar apatah lagi dalam keadaan negara berdepan kemelut dan krisis ekonomi serta kesihatan yang belum pernah dialami sebelum ini.

"Saya dari dulu lagi tanamkan dalam diri bahawa saya akan terus berikan khidmat dalam apa juga kapasiti dan tentunya dilantik sebagai menteri nanti akan memberi peluang berkhidmat yang lebih lagi.

"Jika itu berlaku, ya saya akan beri apa yang terbaik yang boleh saya lakukan," katanya.

Beliau menegaskan, semua calon bagi anggota kabinet baharu termasuk timbalan perdana menteri daripada Bersatu akan ditentukan sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

Menurutnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk mencadangkan nama-nama berkenaan kepada Perdana Menteri.

"MPT telahpun mengadakan mesyuarat dan kami memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya kepada presiden parti mencadangkan nama untuk jawatan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan-timbalan menteri daripada Bersatu.

"Nama-nama itu nanti beliau sendiri yang akan sampaikan kepada Perdana Menteri untuk diputuskan dan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya kira jika semua proses ini berjalan lancar, Perdana Menteri akan membuat pengumuman dalam masa terdekat," katanya.

Bekas Menteri Besar Perak itu merupakan antara pemimpin Bersatu yang dilihat berpotensi mengisi posisi Timbalan Perdana Menteri selain Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!