'Segerakan suntikan untuk orang asli'

Mohd Syahbuddin Hashim
Mohd Syahbuddin Hashim
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berharap kerajaan tidak menunda jadual suntikan vaksin CanSino bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat dalam kalangan orang asli di Gua Musang.

Beliau berkata, kadar kematian tinggi dalam kalangan orang asli akibat jangkitan wabak itu membimbangkan.

"Mengikut jadual asal suntikan untuk dos tunggal menggunakan vaksin CanSino itu pada bulan ini, namun telah ditunda kepada September," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.

Menurutnya, besar harapan agar pemberian vaksin itu tidak akan ditangguhkan lagi bagi memastikan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat orang asli berjaya diputuskan dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata, apa yang membanggakan tahap kesedaran dalam kalangan orang asli untuk menerima vaksin semakin tinggi sekali gus mampu mencapai imuniti kelompok sebagaimana telah ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Syahbuddin berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis akan dijadikan pusat kuarantin dalam usaha memutuskan jangkitan Covid-19 yang sedang 'menyerang' masyarakat orang asli ketika ini.

Katanya, pusat kuarantin yang akan bermula pada Khamis itu akan menempatkan lapan keluarga yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dari Pos Balau, Hendrop dan Tuwil.

"Ini adalah langkah pencegahan awal dan kita tidak mahu wabak ini terus merebak ke kawasan pedalaman di Gua Musang jika tiada kawalan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebelum ini ada enam buah kampung telah diserang Covid-19, sekarang bertambah dua lagi kampung.

"Apa yang membimbangkan kami ialah aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sebab itulah kita wujudkan pusat kuarantin ini," katanya.