Sidang DUN Kelantan ditangguhkan

Sidang DUN Kelantan diadakan secara bersemuka bermula 23 hingga 25 Ogos.
Sidang DUN Kelantan diadakan secara bersemuka bermula 23 hingga 25 Ogos.
A
A
A

KOTA BHARU - Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak selepas tiga hari bersidang sejak Isnin lepas.

Sepanjang persidangan tiga hari itu, satu Rang Undang-Undang Mineral (Pindaan) 2021 yang dibentang pada Rabu oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah dibahas dan diluluskan.

Ketika mencadangkan RUU berkenaan, Ahmad berkata, ia tujuan meminda tafsiran 'bahan batuan' di bawah subseksyen 2(1) Enakmen Mineral 2001 dengan memasukkan selepas perkataan 'Cengkerang' perkataan 'Mangan, Bijih Besi, Batuan Silika, Batu Arang, Barit, Batu Kapur, Batu Dimensi, Batu Separa Permata'.

Beliau berkata, pindaan ini adalah bagi mengelaskan semula bahan batuan jenis Mangan, Bijih Besi, Batuan Silika, Batu Arang, Barit, Batu Kapur, Batu Dimensi, Batu Separa Permata yang ditakrifkan sebagai bahan mineral di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

“Selepas pindaan tafsiran ini diluluskan, bahan mineral jenis batuan Mangan, Bijih Besi, Batuan Silika, Batu Arang, Barit, Batu Kapur, Batu Dimensi, Batu Separa Permata dikeluarkan daripada senarai fi dan bayaran di bawah butiran 12, Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Mineral 2003.

“Fi dan bayaran bagi bahan mineral jenis batuan berkenaan seterusnya dimasukkan di bawah butiran 59 kaedah 21, Kaedah-Kaedah Tanah Kelantan 1966 dengan menetapkan jumlah royalti yang sama atau lain-lain kadar bayaran yang difikirkan sesuai oleh Pihak Berkuasa Negeri," katanya.

Sementara itu sebelum mengakhiri persidangan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri atas kerjasama penuh terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ribuan terima kasih atas kerjasama yang baik diberikan kepada saya dan Timbalan Speaker pada persidangan kali ini yang tentunya terpaksa mengikut SOP yang agak ketat sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi sama-sama mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Semoga negeri dan negara dapat mengatasi musibah ini dalam masa terdekat Insya-ALLAH,” katanya.

Persidangan DUN Kelantan yang berlangsung selama tiga hari itu dijalankan secara bersemuka dengan kesemua 44 ADUN Kelantan yang hadir telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Mereka yang hadir pada persidangan kali ini juga diwajibkan mengimbas kod QR yang disediakan, memakai pelitup muka bersesuaian dan menjaga penjarakan fizikal sebagaimana yang telah ditetapkan. - Bernama