Pahang mohon penjenamaan semula rumah rakit

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sudah membuat memohon dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia untuk penjenamaan semula rumah rakit sebagai 'Rakitstay' di pesisiran sungai di negeri ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, permohonan itu dibuat di bawah kategori 'chalet kampung stay' bagi menaiktaraf penginapan pelancongan tersebut.

Menurutnya, penjenamaan semula di sebuah lokasi penginapan pelancongan perlu bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Setakat ini, kita masih belum mendapat persetujuan daripada pihak kementerian berhubung permohonan terbabit.

"Ini adalah satu cadangan yang baik kerana dalam pelancongan, penjenamaan itu amat penting," katanya menjawab pertanyaan lisan Mujibur Rahman Ishak (Pas-Chenor) mengenai jumlah rumah rakit yang didaftarkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama ke-14 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar memaklumkan, Pahang merekodkan 50 rumah rakit yang telah beroperasi di Rompin iaitu 19 di Sungai Pontian dan 31 di Sungai Rompin.

Jelasnya, turut beroperasi di dua lokasi tersebut, masing-masing 18 dan 15 chalet.

"Operasi bagi dua jenis kemudahan penginapan pelancongan di lokasi berkenan memberi peluang kepada pengunjung menikmati keunikannya," ujarnya.

Artikel Berkaitan: