Polis Sabah nafi Sandakan jadi sel kumpulan Abu Sayyaf

Hazani ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu.
Hazani ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah menafikan dakwaan bahawa Sandakan dijadikan sebagai sel bagi kumpulan Abu Sayyaf (ASG) susulan insiden dua lelaki ditembak mati dan tujuh lagi ditahan adalah kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dalam operasi khas yang dilaksanakan minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali menjelaskan, keadaan kawasan pantai timur Sabah yang panjang itu menjadi pintu masuk bagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Dakwaan itu tiada. Tahulah Sabah ini dari timur Sabah ada 1,470 kilometer pantai. Memang itulah pintu masuk utama.

"Bila pasukan keselamatan keluar, tidak kira polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tentera keluar, mereka akan masuk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan ahli ASG yang ditembak mati dan ditangkap minggu lalu.

Bagaimanapun, Hazani menegaskan bahawa tindakan agresif akan diambil apabila pihak keselamatan Filipina mengesahkan jika ada ahli kumpulan itu berada masuk ke Sabah.

"Mesej kita sudah sampai di seberang (Filipina) yang kita akan ambil tindakan agresif. Masuk ke sini, kita sahkan pihak keselamatan dan juga Filipina jika mereka ini ASG, kita ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Hazani dalam pada itu turut menyeru supaya pemilik ladang atau pemaju supaya tidak memberi ruang kepada PATI, tolong buat pengesahan serta semak dokumentasi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tiada dokumentasi, ikut peraturan. Sekurang-kurangnya tahu dari mana. Kebanyakan yang datang ini menipu nama mereka.

"Saya menggesa supaya pengusaha ladang, pemaju dan sebagainya sila buat dokumentasi pekerja," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi besar-besaran sebaik jangkitan Covid-19 dilandaikan nanti.