Pahang sedia pertimbang santuari udang galah selepas kajian menyeluruh

Mohd Soffi
Mohd Soffi
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang tidak bercadang untuk mewujudkan santuari bagi udang galah di Sungai Rompin setakat ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, bagaimanapun pihak kerajaan menerusi Jabatan Perikanan Pahang bersedia untuk mempertimbangkan penubuhan santuari setelah kajian secara menyeluruh dijalankan kelak.

Menurutnya, santuari adalah tempat perlindungan dan pembiakan sumber perikanan yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

"Untuk mewujudkan santuari ini bukan mudah kerana semua pihak seperti nelayan darat atau sungai dan agensi berkaitan perlu beri komitmen sama-sama berfungsi untuk mengelakkan daripada ancaman di perairan di Sungai Rompin.

"Ancaman yang dimaksudkan termasuklah penangkapan secara berlebihan, penggunaan peralatan haram dan perlu memastikan tiada pencemaran sungai," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ir Razali Kassim (BN-Muadzam Shah) yang mencadangkan agar Jabatan Perikanan atau agensi berkaitan mewujudkan santuari udang galah secara semula jadi Sungai Rompin.

Cadangan itu dibuat Ir Razali susulan Sungai Rompin yang dikatakan sangat popular dengan hasil udang galah sehingga menjadi tarikan utama kepada pelancongan untuk berkunjung ke Rompin.

Mengulas lanjut mengenai pertanyaan itu, Mohd Soffi menjelaskan, kerajaan Pahang menyedari potensi daerah Rompin yang terkenal dengan hasil perikanan seperti udang galah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, disebabkan itu program pelepasan benih udang dan ikan telah dilaksanakan secara berkala setiap tahun sebagai usaha memelihara dan meningkatkan stok bekalan sumber perikanan terbabit.

"Pada tahun 2019 sehingga Julai lalu, sebanyak 635,850 ekor benih ikan dan udang galah telah dilepaskan ke perairan sungai-sungai di daerah Rompin," kataya.