Krisis air: Terengganu salur bantuan RM2.79 juta

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengumumkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta bagi membantu lebih 150,000 penduduk daerah ini dan Kuala Nerus yang terputus bekalan air sejak Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan melalui Syarikat Air Terengganu (Satu) dan Terengganu Incorparated (TI) itu adalah penyelesaian sementara bekalan air dipulihkan.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM1.04 juta diberikan kepada 104 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terlibat bagi tujuan penyampaian bekalan air harian kepada semua 29,151 akaun pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis air di Terengganu dijangka hingga 12 September

"Sebanyak RM500,000 akan disumbang untuk pengurusan, logistik dan bekalan berkaitan di semua kawasan terlibat.

"Bantuan ini akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penyelaras mengikut jumlah penduduk serta pengguna di setiap kawasan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan juga akan membekalkan air minuman dalam kotak berjumlah RM1.25 juta kepada semua rumah yang terjejas sepanjang krisis bekalan air berlaku.

Katanya, bekalan air bersih itu akan dihantar dengan kekerapan yang sesuai bagi memastikan penduduk dapat menikmati bekalan air bersih mencukupi sehingga masalah kerosakan dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Samsuri turut melahirkan rasa sedih dengan kejadian paip pecah itu dan meminta Jawatankuasa Siasatan melakukan siasatan terperinci berhubung krisis berkenaan.

"Jawatankuasa Siasatan masih membuat siasatan untuk kes pertama yang lalu dan saya mengarahkan agar terma siasatan dipanjangkan untuk kes yang kedua.

"Usaha ini bagi merencanakan tindakan jangka masa panjang dan saya harap masalah ini dapat diselesaikan pada kadar segera," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan krisis bekalan air di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berikutan paip dasar Sungai Terengganu pecah buat kali kedua dijangka kembali pulih pada 12 September depan.

Kerja-kerja baik pulih mengambil masa sehingga 20 hari kerana kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) itu lebih teruk berbanding sebelum ini.