215 kes kerja tanah haram dikesan di Selangor

Gambar kecil: Amirudin
Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebanyak 215 kes kerja tanah haram berjaya dikesan di seluruh Selangor bagi tempoh bermula tahun lalu sehingga Jun lepas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 169 kes telah dikenakan tindakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas pemilik tanah terlibat didapati melanggar undang-undang ditetapkan.

Amirudin berkata, terdapat 34 kes dikenal pasti gagal bagi melaksanakan baik pulih tanah dan tiada mana-mana pihak telah didakwa di mahkamah bagi tempoh berkenaan.

“Berdasarkan rekod yang diterima, kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) paling banyak dikenal pasti menjalankan kerja tanah haram membabitkan 52 kes dan 23 daripadanya dikenakan tindakan kompaun,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung pada Rabu.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dikemukan oleh Edry Faizal Eddy Yusof (DAP-Dusun Tua) berhubung jumlah kerja tanah yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kerja tanah haram.

“Jika terdapat kesan kacau ganggu, kompaun berulang akan diberikan kepada pemilik tanah terlibat.

“Fail siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut sekiranya tiada tindakan lanjut diambil oleh pemaju,” katanya.

Artikel Berkaitan: