Covid-19: RM73.8 juta diperuntukkan jaga kebajikan rakyat Selangor

Ganabatirau Veraman
Ganabatirau Veraman
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor meluluskan peruntukan berjumlah RM73.8 juta di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi menjaga kebajikan rakyat di negeri itu sepanjang pandemik Covid-19.

Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, Ganabatirau Veraman berkata, beberapa inisiatif dilaksanakan di bawah strategi berkenaan antaranya program Bakul Makanan.

Beliau berkata, penerima manfaat menerusi program Bakul Makanan ini terdiri golongan B40, pemandu bas dan van sekolah, pemandu teksi dan bas persiaran, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit Covid-19.

Di samping itu katanya, bantuan kewangan kepada keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebanyak RM1,000 dan bantuan Khas RM500 OKU secara sekali beri turut disalurkan.

"Keempat, moratorium Usahawan Hijrah Selangor. Seramai 40,000 usahawan Hijrah Selangor menikmati moratorium pembayaran pinjaman selama satu setengah bulan ini.

"Selain itu, penangguhan bayaran balik pinjaman biasiswa Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor dari enam bulan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian," katanya ketika sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning menjawab pertanyaan Dr Gunaraj George (PKR-Sentosa) apakah bantuan tambahan Covid-19 yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada warga Selangor.

Pada 9 Jun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bahawa kerajaan negeri melaksanakan 14 inisiatif di bawah strategi pertama Pakej Kita Selangor 2.0 bagi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.

Artikel Berkaitan: