Lazada umum penjenamaan semula

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lazada, platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara mengumumkan penjenamaan semula bahagian logistiknya - Lazada Logistics.

Lazada Logistics dahulu dikenali secara berasingan sebagai Lazada eLogistics (LEL) dan Lazada Express (LEX) yang mana LEL menguruskan perkhidmatan penunaian pesanan dan logistik dengan penyedia logistik pihak ketiga (3PL) manakala LEX pula mengendalikan khidmat penghantaran bungkusan kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada Chun Li berkata, sepanjang sedekad lepas, rangkaian logistik hak milik Lazada telah mencorakkan semula persekitaran e-dagang di rantau paling ramai penduduk dan pelbagai dari segi geografi.

Beliau menambah keupayaan logistik ini telah membolehkan Lazada menyediakan perkhidmatan penghantaran terbaik dalam kelasnya kepada pengguna di seluruh rantau selain memberikan perkhidmatan dari mula hingga akhir tanpa kerenah kepada penjual dan rakan niaga.

"Penjenamaan semula ini mencerminkan kemajuan penting yang telah kami capai selama ini diterajui oleh insan dan teknologi," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sejajar dengan penjenamaan semula ini, Lazada Logistics turut memperkenalkan perkhidmatan logistik berbilang saluran (MCL), yang menyediakan penyelesaian penunaian stok tunggal untuk membolehkan para pengendali eDagang dan jenama-jenama menunaikan pesanan meliputi semua saluran e-dagang dengan lancar.

"Sama ada pengguna membuat pesanan di Lazada atau saluran e-dagang lain, Lazada Logistics akan menunaikan semua pesanan berkenaan.

"Di bawah perjanjian ini, Lazada menyimpan produk peniaga dan rakan-rakan e-dagang, membolehkan pesanan dikendalikan dan dikirim dengan pantas menerusi rangkaian penghantaran Lazada sendiri, rakan-rakan 3PL atau khidmat penghantaran yang ditentukan saluran," jelas syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Logistik Kumpulan Lazada Andy Huang berkata, dalam persekitaran semasa, pengguna sudah membiasakan diri dengan kemudahan beli belah dalam norma baharu, dan penghantaran barangan terus ke depan pintu – dengan selamat dan tepat pada masanya.

"Pada hakikatnya kini kami perlu terus mempelopori inovasi dan memperkenalkan penyelesaian baharu yang akan membantu peniaga dan rakan e-dagang kami memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan mereka yang semakin meningkat.

"MCL memastikan pengalaman jenama yang konsisten dan menyelesaikan pelbagai masalah logistik bagi jenama dan penjual, membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap jualan dan pemasaran sambil meluaskan perniagaan masing-masing," tambah beliau.

MCL membolehkan jenama dan penjual meningkatkan kelancaran dan fleksibiliti kawalan inventori, selain menyelesaikan masalah logistik mereka termasuk perbelanjaan modal dan operasi yang tinggi yang dikaitkan dengan penunaian pesanan seperti keperluan menyelenggarakan infrastruktur gudang dan kenderaan penghantaran.

"Mereka juga terlepas daripada kerumitan membina rangkaian operasi yang besar tanpa ekonomi skala," kata Lazada.

MCL membuktikan keupayaan logistik dan infrastruktur rantaian bekalan canggih Lazada, yang menawarkan kemudahan inventori pintar dan penyelesaian penghalaan dipacu data dan teknologi

Semua jenama dan penjual boleh memanfaatkan rangkaian Lazada Logistics meliputi lebih 400 kemudahan gudang, pusat penyisihan dan hab.

Mereka juga boleh memanfaatkan rangkaian kenderaan serantau terbesar yang dimiliki oleh pasaran e-dagang, dan kelebihan kompetitif Lazada yang mempunyai kawalan terhadap operasi logistik yang serba lengkap.

Lebih 85 peratus daripada bungkusan di peringkat awal penghantaran dikendalikan oleh kemudahan Lazada.

Di Malaysia, Lazada adalah satu-satunya peserta e-dagang dengan rangkaian gudang bersepadu serba lengkap milik penuh, tiga pusat penyisihan di Subang, Puchong dan Pulau Pinang, dan lebih 40 hab penghantaran di seluruh negara.

"Langkah menyepadukan MCL ke dalam rangkaian logistik bersepadu serba lengkap kami yang sedia ada akan membolehkan kami berkhidmat kepada pelanggan dengan lebih baik dan pantas, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan lanjutan yang mana rakyat Malaysia kini semakin bergantung kepada platform e-dagang untuk membeli barangan keperluan harian masing-masing.

"Kami bercadang melancarkan lebih banyak ciri baharu, termasuk insentif untuk penjual menunaikan pesanan lebih pantas dan menambah baik perkhidmatan kutipan pesanan pada hari sama daripada penjual, demi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan dan penjual,” kata Ketua Pegawai Logistik, Lazada Malaysia P Sunil Singh. - Bernama