Covid-19: Industri pelancongan Kelantan alami kerugian RM2.6 bilion

Md Anizam (depan) ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Keempat DUN Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.
Md Anizam (depan) ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Keempat DUN Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Industri pelancongan di Kelantan mengalami kerugian mencecah RM2.6 bilion sejak serangan pandemik Covid-19 tahun lalu.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, ia berikutan penyusutan pelawat lebih 2.5 juta berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Menurutnya, laporan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula menganggarkan sektor pelancongan negara mengalami kerugian RM45 bilion tahun lalu.

"Ia ekoran pergerakan yang dihadkan dan aktiviti ekonomi disekat sehingga menyebabkan kekurangan pelancong," katanya ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Menurutnya, bagi meringankan beban pemain industri tersebut, kerajaan negeri menyalurkan beberapa bantuan berjumlah RM724,750 yang melibatkan pihak hotel, bot pelancong, pemandu pelancong dan sebagainya.

Beliau berkata, antara bantuan lain yang diberikan ialah sanitasi kepada hotel yang berdaftar dengan MOTAC di negeri ini, wang tunai RM1,000 masing-masing kepada agensi pelancongan, penggiat seni, pengayuh beca dan sebagainya.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga turut membantu meringankan beban.

"Dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan yang terhalang oleh pandemik Covid-19 hampir dua tahun, beberapa kawasan sedang dibangun dan dimajukan semula untuk tarikan pelancongan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Destinasi pelancongan tersebut ialah Projek Warisan Kampung Laut (Tumpat), Zoo Kuala Krai (Kuala Krai) dan Kolam Air Panas Tok Bok, (Machang)," katanya.

Md Anizam berkata, selain itu kerajaan negeri menerusi gelembung pelancongan turut membuat pelbagai promosi termasuk secara virtual.