PKR Negeri Sembilan terus sokong Anwar

Datuk Seri Aminuddin Harun
Datuk Seri Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan akan terus menyokong kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan Pengerusi Pakatan Harapan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan ciri-ciri negarawan beliau, jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.

"Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19 dan kelembapan ekonomi serta membela nasib rakyat.

"Kami di Negeri Sembilan akan meneruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan pengukuhan institusi-institusi negeri tanpa bertolak ansur terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Bertitik tolak daripada keadaan rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup, pendapatan yang tidak tetap serta ekonomi yang tidak menentu, maka agenda tersebut wajib diperkukuhkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya, semua saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi di Negeri Sembilan, diminta untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden dan prinsip yang diperjuangkan.

"Kami menggesa semua kepimpinan dan anggota parti di Negeri Sembilan khususnya dan Malaysia amnya untuk terus mengukuhkan parti dan memantapkan penyusunan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14,"katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya menjunjung kasih dan menghormati pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, beliau percaya bahawa pelantikan tersebut telah dibuat menurut lunas-lunas perlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.