Maszlee lancar penyata polisi bantu baik pulih sistem pendidikan

Maszlee
Maszlee
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik melancarkan satu penyata polisi bertujuan membaik pulih sistem pendidikan negara yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

Menurut beliau, penyata polisi bertajuk 'Pendidikan dan Wabak Covid-19: Solusi Buat Rakyat Malaysia itu merupakan hasil libat urus dengan pakar kesihatan, pendidikan dan masyarakat yang prihatin terhadap masa depan pendidikan.

"Penyata polisi ini merupakan himpunan beberapa artikel, ucapan perbahasan dan kenyataan media yang pernah saya keluarkan sama ada secara sendirian mahupun bersama rakan-rakan dari blok pembangkang di Parlimen, dan juga bersama Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan

"Pendidikan sepatutnya diberikan tumpuan demi memastikan masa depan negara yang lebih baik.

"Solusi dan kehidupan pasca wabak perlu dipulihkan dengan intervensi dan perancangan strategik dari sekarang," katanya ketika melancarkan penyata polisi itu di Facebooknya pada Selasa.

Mengulas lanjut bekas Menteri Pendidikan itu berkata, penyataan berkenaan dibahagikan kepada dua bab iaitu berkaitan isu pendidikan ketika pandemik Covid-19 dan syor penyelesaian masalah tersebut.

"Bab pertama, sebanyak 14 isu utama ditimbulkan: Mukadimah, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) penutupan dan pembukaan Sekolah, 'lost generation,' vaksin, tv pendidikan, radio pendidikan, insentif guru, kempen membaca, pendidikan sebagai proses holistik sewaktu wabak melanda, alternatif kepada pemansuhan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), majlis tindakan pendidikan kebangsaan dan pengajian tinggi.

Bagi bab kedua pula kata Maszlee, ia menjelaskan pembentangan pelan pemulihan jangka masa panjang untuk isu pendidikan dengan mengemukakan solusi yang tuntas.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 12 isu dibawakan sebagai pelan cadangan jangkamasa panjang untuk Pendidikan: Laporan JKDPN, Model Sistem Pendidikan Baharu (New education Model), JK Dataraya, Program Sarapan Pagi, Pendidikan Kalis Masa Hadapan, Hyperscale Public Cloud Computing (Komputer Awan Awam Berskala) dan Pendidikan, Majlis Pendidikan Tinggi Kebangsaan, Amalan Revolusi Perindustrian 4.0 Secara Imersif di Pendidikan Tinggi, Guru Berkemimpinan, Isu Integriti di IPT, Siswa Teknoperneur dan TVET 4.0 Pasca Covid-19," katanya melalui media sosial itu.

Ujar Maszlee, beliau juga telah menyerahkan buku cadangan polisi berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan akan turut menghadiahkan kepada Menteri Pendidikan yang akan dilantik untuk dipertimbangkan.