Sultan Perak zahir penghargaan kepada barisan hadapan

Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan dengan berdiri dan memberikan tepukan atas khidmat barisan hadapan yang cekal bertugas memerangi Covid-19.
Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan dengan berdiri dan memberikan tepukan atas khidmat barisan hadapan yang cekal bertugas memerangi Covid-19.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada setiap petugas barisan hadapan serta ahli keluarga yang cekal berkhidmat dan berkorban memikul tanggungjawab dalam memerangi Covid-19.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Rabu, baginda bersama semua Ahli Dewan turut berdiri dan memberikan tepukan penghargaan.

Menurut baginda, dalam menangani penularan wabak ini, para doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu kereta jenazah dan penggali kubur serta pengurus rumah-rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab berat di luar jangka, berada di barisan paling hadapan dan menghadapi risiko jangkitan paling tinggi.

Titah baginda, risiko besar juga dihadapi penghantar makanan, petugas-petugas di kedai runcit, di pasar raya dan di farmasi; pengendali pengangkutan awam, anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berkaitan serta pegawai-pegawai awam di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting.

"Ia satu beban tanggungjawab yang mereka tidak pernah terbayang perlu dihadapi oleh profesion masing-masing.

"Mereka telah melaksanakan satu tugas fardu kifayah yang wajib dihargai. Semoga ALLAH SWT menganugerahkan khidmat dan pengorbanan mereka dengan sebesar-besar ganjaran.

"Sebagai tanda apresiasi kita kepada setiap seorang petugas di barisan hadapan serta ahli keluarga mereka, marilah kita sama-sama berdiri dan memberikan mereka satu tepukan penghargaan," titah baginda.

Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada usaha pentadbiran kerajaan negeri yang mempercepatkan dan menambah baik program vaksinasi bagi mencapai kadar imunisasi berkelompok.

Artikel Berkaitan:

Jelas baginda, virus Covid-19 mencetuskan medan tempur baharu, justeru vaksinasi adalah inisiatif pencegahan dan imunisasi merupakan perisai pertahanan untuk meningkatkan daya imuniti rakyat menghadapi ancaman virus itu.

"Sehingga 24 Ogos 2021, sejumlah 1,118,358 orang telah menerima dos pertama dan 797,317 orang telah lengkap menerima dos kedua, merupakan 42.8 peratus daripada jumlah populasi dewasa negeri Perak.

"Kerajaan sedang mengusahakan inisiatif untuk mencapai kadar imunisasi kelompok dengan mempercepatkan program vaksinasi.

"Program pemberian vaksin juga dipertingkatkan dan ditambah baik melalui program jangkauan, menggerakkan pasukan khas ke lokasi pedalaman, mendekati dan menyantuni masyarakat di luar bandar dan masyarakat orang asli," titah baginda.

Sejak penemuan virus Covid-19 pada akhir 2019 lalu, sebanyak 59,977 kes kumulatif positif Covid-19 dicatat berlaku di Perak dengan 418 angka kumulatif kematian.