Tetap ambil vaksin walau hidup terasing

Mereka yang selesai menerima vaksin diberi penerangan daripada petugas.
Mereka yang selesai menerima vaksin diberi penerangan daripada petugas.
A
A
A

KUALA NERUS - Walaupun hidup terasing daripada masyarakat, 84 penagih dadah yang menjalani pemulihan di Pondok Remaja Inabah 2 (PRI2) di Kampung Sungai Ikan, Tepoh di sini tetap peka tentang kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

Kesemua mereka menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer secara 'mobile' dari 18 petugas perubatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di pondok berkenaan pada Selasa.

Pengetua PRI2, Shah Amirudin Mohd Usman berkata, pondok rawatan masalah penagihan dadah itu mempunyai seramai 96 penghuni dan 11 orang daripadanya telah menerima vaksin Covid-19.

"Semua penghuni di sini setuju untuk terima vaksin dan sudah mendaftar dalam MySejahtera, tetapi masalah timbul apabila jadual dan lokasi PPV janji temu tidak sama antara satu sama lain.

"Ini kerana penghuni atau dipanggil anak bina yang mendapat janji temu akan dihantar dan dijaga oleh pembina, jadi ia memberi sedikit kekangan buat kita termasuk urusan kenderaan," katanya ketika ditemui media semasa pemberian vaksin secara 'mobile' oleh PPV UniSZA di PRI2 pada Selasa.

Shah Amirudin
Shah Amirudin

Sehubungan itu kata Shah Amirudin, pihaknya menghargai usaha UniSZA turun padang ke pusat tersebut sekaligus merealisasikan hasrat 84 penghuni menerima vaksin bagi melindungi diri daripada Covid-19.

Menurut beliau, PRI2 yang mula beroperasi pada tahun 1989 di tanah seluas lebih tiga hektar dikendalikan oleh 24 kakitangan termasuk pembina dan semua mereka sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Shah Amirudin berkata, PRI2 merupakan pusat rawatan dan pemulihan dadah menggunakan kaedah kerohanian Islam dan semua penghuni berusia antara 17 hingga 56 tahun dari seluruh negara akan diterapkan dengan solat, zikir serta ilmu agama.

Penghuni PRI2 menerima suntikan vaksin Covid-19 oleh petugas kesihatan PPV UniSZA.
Penghuni PRI2 menerima suntikan vaksin Covid-19 oleh petugas kesihatan PPV UniSZA.

"Tempoh rawatan paling minimum adalah selama lapan bulan, tetapi ia bergantung kepada keluarga kerana ada anak bina yang tinggal di sini selama 20 tahun.

"Kita ada 11 pengajar termasuk jemputan luar dan mengikut kajian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2004, pusat rawatan ini merekodkan 65 peratus kepulihan dan ia antara tertinggi di negara," katanya.