X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran pemuda Pas Kedah

Nurul Amin ketika menyampaikan ucapannya di hadapan lebih 100 penduduk yang berhimpun di Dataran Medan Selera Kerpan, Jerlun.
A
A

JERLUN - Pemuda Pas Kedah tidak teragak-agak untuk menganjurkan himpunan lebih besar jika masih ada pihak yang berani memperlekehkan dan menghina Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Abd Hamid berkata, pihaknya juga tidak akan berdiam diri sekiranya penghinaan ini terus berlaku terhadap junjungan besar Rasullulah.

Menurutnya, beliau mewakili pemuda Pas memberi amaran mereka akan berada di barisan paling hadapan menyahut seruan sekiranya penghinaan terus berlaku kepada nabi di bawah kerajaan PH.

"Hari ini kita berada di perhimpunan ini adalah untuk membawa satu mesej yang besar kepada semua masyarakat dan kerajaan Malaysia bahawa kita tidak akan reda sama sekali perilaku penghinaan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

"Kami Pemuda Dewan Pas Negeri Kedah amat kecewa dengan kenyataan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyatakan bahawa apa yang Pas dan Umno buat perhimpunan hari ini di seluruh Malaysia adalah kerana politik, adalah kerana PRK Semenyih.

"Kenapa kamu (Mujahid) mengecam umat Islam hari ini yang berhimpun semata-mata kerana Nabi Muhammad SAW," katanya semasa berucap di demonstrasi bantahan 'Jangan hina junjungan besar kami Nabi Muhammad SAW' anjuran Pemuda Pas Kedah di Dataran Medan Selera Kerpan, Jerlun selepas solat Jumaat, di sini.

Nurul Amin berkata, pihaknya bersama kaum Melayu dan Islam pernah berhimpun secara besar-besaran pada 8 Disember tahun lalu di ibu kota untuk menyatakan bantahan terhadap ICERD.

"Jika di Jakarta, Indonesia pula, umat Islam berhimpun kerana bekas gabenornya, Ahok atau nama sebenarnya, Basuki Tjahaja Purnama yang menghina ayat suci Al-Quran.

"Kami di sini sama tidak akan berdiam diri sekiranya perkara sama masih berlaku terhadap Nabi Muhammad," katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas Kawasan Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun, Azhar Abdullah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!