Kempen dingin, PDN seru warga Damansara derma darah

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Darah Negara (PDN) menyeru warga Damansara dan kawasan sekitarnya menderma darah di lokasi kempen derma darah anjurannya di Lotus’s Mutiara Damansara (sebelum ini dikenali sebagai Tesco).

PDN dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan, penganjuran kempen yang bermula Selasa hingga Jumaat ini mendapat sambutan agak dingin daripada orang ramai.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 40 beg darah di lokasi ini pada hari ini. Bagaimanapun hingga 2.15 petang, hanya tujuh beg darah sahaja diperoleh.

“Buat warga Damansara dan sekitarnya, jom bantu kami dapatkan stok bekalan darah di sini. Sumbangan anda amat diperlukan bagi memastikan para pesakit mendapat bekalan darah yang mencukupi,” menurut PDN.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut berkongsi hantaran itu dalam satu ciapan Twitter beliau.

“Sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

PDN turut menganjurkan kempen derma darah di tingkat bawah, Center Court B, pusat beli-belah D'Pulze, Cyberjaya bermula 27 hingga 31 Ogos ini dari 11 pagi hingga 5 petang.

Bagi memudahkan urusan pendermaan darah, penderma darah diminta untuk mengisi slip kehadiran menerusi pautan berikut, https://linktr.ee/dermadarah. - Bernama

Artikel Berkaitan: