Banjir di Yan: RM1 juta diperuntuk baik pulih bekalan air penduduk

No Image Caption
A
A
A

YAN - Sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk kerja membaik pulih bekalan air graviti bagi penduduk kampung di sekitar daerah ini yang terputus susulan banjir lumpur akibat fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, kebanyakan penduduk kampung terlibat menggunakan bekalan air diambil dari tanah tinggi dan paip yang menyalurkan bekalan air itu hilang selepas hanyut dibawa arus deras dalam kejadian itu.

"Peruntukan ini diberikan untuk mengembalikan bekalan air masyarakat ke kampung-kampung yang ada senarai lebih kurang 14 kampung terjejas dengan kejadian tersebut.

"Kita berharap penduduk kampung-kampung terlibat bersabar dan kita akan cuba melaksanakan (kerja baik pulih) secepat mungkin," katanya semasa membuat tinjauan kesan tanah runtuh akibat tragedi itu di sekitar Gunung Jerai pada Selasa.

Suraya berkata, pihak berkaitan seperti pejabat daerah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan membantu menghantar bekalan air untuk kegunaan penduduk kampung terlibat buat sementara waktu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani risiko di kawasan Gunung Jerai dan kerja baik pulih cerun kesan tanah runtuh akibat tragedi itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: