Beli kit ujian kendiri Covid-19 hanya diluluskan PBPP: MMA

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa orang ramai supaya membeli kit ujian kendiri Covid-19 yang menggunakan sampel saliva atau air liur yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) sahaja dan membelinya daripada penjual yang sah.

Presiden MMA, Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, orang ramai perlu menyemak senarai kit ujian kendiri yang diluluskan melalui laman web PBPP sebelum membuat pembelian bagi mengelak produk tiruan yang boleh menyebabkan risiko keselamatan kerana kualitinya terjejas atau kit ujian yang dikitar semula.

Beliau berkata, adalah penting untuk orang ramai mengikuti arahan pada kit ujian itu bagi mendapatkan keputusan yang tepat serta memastikan kit ujian itu dibuang dengan betul setelah digunakan bagi mencegah penyebaran jangkitan.

“MMA juga bersetuju dengan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bahawa perlunya peraturan ketat terhadap penjualan kit ujian kendiri Covid-19 kerana penjual yang tidak sah telah mengiklankan dan menjual kit ujian itu secara terus kepada pengguna menerusi platform media sosial.

“Ada beberapa penjual ini yang mendakwa kit ujian kendiri mereka mempunyai ketepatan 99 peratus tanpa mendedahkan jenama produk itu, keadaan ini amat membimbangkan kerana orang ramai boleh mudah terperdaya dengan membeli kit ujian kendiri yang palsu atau dengan kualiti rendah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Subramaniam juga menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama rapat dengan PBPP dan pihak polis bagi memantau penjualan kit ujian Covid-19, termasuk menyiasat dakwaan kit ujian yang tidak diluluskan atau tiruan di pasaran.

Pada 11 Ogos lepas, Kementerian Kesihatan mengeluarkan senarai penuh jenama kit ujian kendiri Covid-19 yang telah diberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan umum. - Bernama

Artikel Berkaitan: