Sila log masuk terlebih dahulu.

Banjir di Yan: 28 kes positif Covid-19 dikesan

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan telah mengenalpasti sebanyak 28 kes positif Covid-19 di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir di Yan. Gambar hiasan.Gambar kecil :Othman
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan telah mengenalpasti sebanyak 28 kes positif Covid-19 di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir di Yan. Gambar hiasan.Gambar kecil :Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan telah mengenalpasti sebanyak 28 kes positif Covid-19 di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir di Yan.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, selepas penilaian segera dilakukan, tiga kes dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, 10 kes pula dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungai Petani untuk pengawasan lebih rapi manakala 15 kes lagi yang tanpa gejala atau bergejala ringan terus tinggal di rumah masing-masing dan diawasi oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Yan.

"Sementara itu, 41 individu diletakkan di bawah pengawasan (PUS) tinggal di rumah dan diawasi secara bersepadu oleh pasukan pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasa lain dan Pusat Kesihatan Daerah Yan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, seramai 275 anggota terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Daerah Yan dan pelbagai agensi penyelamat lain termasuk malim gunung juga didapati negatif Covid-19.

Menurut beliau, semua anggota penyelamat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) itu telah menjalani saringan dengan menggunakan kit ujian pantas (RTK) air liur yang dilakukan oleh PKD Yan di Pusat Kawalan Operasi Bencana,Titi Hayun, dekat sini pada Isnin.

"Daerah Yan mempunyai penduduk seramai 78,000 orang dengan 53,500 daripadanya berumur 18 tahun ke atas.

"Sehingga 23 Ogos 2021, seramai 39,560 telah menerima suntikan dos pertama (atau 73.9 peratus daripada penduduk yang layak) dan 23,900 (44.7 peratus) telah lengkap menerima dos kedua," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dr Othman berkata, hasil penilaian risiko oleh PKD Yan mendapati risiko jangkitan penyakit bawaan air banjir adalah rendah dan tiada laporan keracunan makanan atau jangkitan kencing tikus (leptospirosis) diterima pihaknya setakat ini.

"Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Yan telah membuat ketetapan supaya semua badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja sukarela di Yan perlu lengkap divaksin dan membuat saringan Covid-19," katanya