Malindo Air buka laluan Langkawi, Melaka

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI -Syarikat penerbangan Malindo Air hari ini melancarkan penerbangan sulung antara Langkawi dan Melaka.

Malindo Air melakukan penerbangan sulung ke Melaka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada jam 12.05 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka pada 1.45 tengah hari dengan membawa seramai 19 penumpang.

Seramai 72 penumpang pula menaiki pesawat Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka ke LIA yang berlepas pada 2.05 petang dan tiba pada 3.45 petang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Perancangan dan Pembangunan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Zepri Saad berkata, berdasarkan jumlah penumpang untuk kedua-dua penerbangan sulung menggunakan pesawat ATR72-600 itu, pihaknya yakin ia satu permulaan baik untuk pulau pelancongan ini dan juga Melaka.

"Malindo Air terbang tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad antara kedua-dua lokasi ini, jika ditanya kenapa Melaka? Kita sedia maklum Melaka antara tempat menarik serta ramai pelancong ke sana, begitu juga Langkawi.

"Jadi dengan adanya laluan penerbangan ini pelancong dapat merancang perjalanan mereka sama ada dari Langkawi ke Melaka dan sebaliknya," katanya.

Zepri berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Malindo Air dari Langkawi ke Melaka yang turut dihadiri Pengarah Hubungan Kerajaan Malindo Air, Raja Sa’adi Raja Amrin di LIA di sini, hari ini.

Menurutnya, LADA difahamkan Malindo Air akan membuka satu lagi laluan baharu iaitu Langkawi ke Phuket, Thailand bermula 31 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

“Penerbangan antara Langkawi ke Phuket juga dibuat tiga kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu ini seterusnya menghubungkan antara Melaka, Langkawi dan Phuket.

"Kami berharap laluan ini akan membawa lebih ramai pelancong ke Langkawi," katanya. - Bernama