X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Kerajaan digesa pertimbang empat reformasi disyorkan PH

Dari kiri: Anwar, Mohamad dan Guan Eng.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan kembali empat reformasi yang perlu diberi pertimbangan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut mereka, reformasi berkenaan adalah bagi penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan rakyat daripada wabak Covid-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.

"Ini termasuk reformasi dan penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara dengan memastikan program saringan ujian awam FTTIS+V (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dilaksanakan dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.

"Selain itu, lakukan reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan serta melaksanakan program moratorium pinjaman bank tanpa faedah demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

"Ketiga ialah reformasi institusi dengan memperkasakan Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuhkan fungsi semak imbang Parlimen serta mengiktiraf peranan pembangkang dengan benar-benar dilibatkan dalam usaha dan ikhtiar Kerajaan.

"Juga reformasi perundangan termasuk dengan melaksanakan Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti," menurut Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan Majlis Presiden PH itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Ketiga-tiga pimpinan parti itu menegaskan, perkara yang digariskan telah ditekankan sejak tahun lalu, namun kerajaan gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19.

"Memandangkan Jemaah Menteri yang baharu bakal dibentuk, PH berpandangan Perdana Menteri wajar memberikan pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan di atas demi rakyat dan negara," kata mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!