Lebih RM28,000 lesap, lelaki Bangladesh diperdaya ejen kiriman wang

No Image Caption
A
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki warga Bangladesh terpaksa berputih mata apabila wang berjumlah RM28,200 yang disimpan bertahun-tahun lesap akibat diperdaya ejen penghantaran kiriman wang ke luar negara.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 31 tahun yang merupakan pekerja am di Bahau Estate telah menggunakan khidmat ejen berkenaan setelah tertarik dengan iklan perkhidmatan itu di akaun Facebook 'anika topup'.

"Mangsa telah berhajat untuk menghantar wang RM28,200 kepada keluarganya di Bangladesh.

"Mangsa diminta oleh ejen berkenaan untuk masukkan wang secara berperingkat ke dalam beberapa nombor akaun iaitu bayaran pertama dibuat pada 7 Ogos lalu dan terakhir pada 11 Ogos," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, ejen berkenaan telah memberitahu urusan kiriman wang mengambil masa dua hari.

Beliau berkata, pada 14 Ogos mangsa telah menghubungi keluarganya di Bangladesh, namun diberitahu mereka tidak menerima apa-apa wang daripada ejen.

"Mangsa telah menghubungi ejen berkenaan di talian 017-3789 508 dan diberitahu perlu membuat pembayaran sebanyak RM5,000 untuk urusan insurans.

"Sekiranya gagal membuat pembayaran, wang mangsa berjumlah RM28,200 tidak akan dilepaskan,"katanya

Artikel Berkaitan:

Chang Hook berkata, mangsa yang rasa tertipu telah membuat laporan polis.