300 Pegawai Perubatan ditawar lantikan tetap

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menawarkan pelantikan tetap kepada 300 pegawai perubatan pada bulan ini. Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menawarkan pelantikan tetap kepada 300 pegawai perubatan pada bulan ini. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menawarkan pelantikan tetap kepada 300 pegawai perubatan pada bulan ini.

Kesemua mereka yang ditawarkan membabitkan pegawai perubatan daripada kohort ketiga, iaitu lantikan pada 15 Mei 2017.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 150 pegawai perubatan iaitu 19 pegawai kelahiran Sabah dan 131 pegawai kelahiran Semenanjung ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan di Sabah.

Jelasnya, seramai 150 pegawai kelahiran Semenanjung pula dilantik tetap dengan penempatan di Sarawak. Kesemua anak kelahiran Sarawak dalam kohort lantikan itu telah pun dilantik tetap dalam urusan terdahulu.

"Sejak lantikan pertama secara tetap pegawai perubatan pada tahun 2018 hingga kini, jumlah keseluruhan pegawai yang telah ditawarkan pelantikan tetap adalah seramai 1,089 orang.

"Bagaimanapun, daripada sejumlah 300 orang pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap, hanya seramai 200 orang (66 peratus) pegawai telah bersetuju menerima tawaran tersebut.

"Baki seramai 100 pegawai lagi tidak melapor diri bertugas kerana menolak tawaran iaitu seramai 85 pegawai manakala seramai 15 pegawai lagi telah meletak jawatan berikutan mendapat tawaran pekerjaan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan, KKM memandang serius mengenai perkara ini kerana peluang pelantikan tetap ini tidak sepatutnya dilepaskan pada ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya melantik mereka secara tetap.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini katanya, tawaran pelantikan tetap kali kedua tidak lagi akan ditawarkan kepada pegawai yang menolak tawaran bagi memberi peluang kepada pegawai lain yang masih menunggu giliran untuk dilantik tetap.

Sehubungan itu katanya, sebanyak 100 kekosongan jawatan tetap di Sabah dan Sarawak itu akan dibuat pengisian segera daripada kalangan baki calon dalam kohort ketiga setelah mendapat kelulusan pelantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.