Covid-19: JKN Kedah saring 275 individu terlibat SAR di Yan

Keadaan kawasan Titi Hayun yang terbabit dalam kejadian fenomena kepala air. -Foto Bernama
Keadaan kawasan Titi Hayun yang terbabit dalam kejadian fenomena kepala air. -Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah menjalankan saringan Covid-19 ke atas 275 anggota daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di daerah Yan susulan banjir lumpur 18 Ogos lalu.

Pengarah JKN Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kesemua anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Daerah Yan serta pasukan malim gunung itu telah menjalani saringan menggunakan kit ujian pantas (RTK) pada Isnin.

“Mereka telah menjalani ujian di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Titi Hayun, Yan pada pukul 4 petang hingga 7 malam. Sebanyak 274 sampel adalah negatif manakala satu sampel yang menunjukkan keputusan ‘intermediate’ turut disahkan negatif hasil ujian lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Sementara itu, sebanyak 28 kes positif dalam kalangan mangsa banjir telah dikenalpasti. Sebanyak tiga kes telah dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani manakala 10 kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Sungai Petani,” katanya dalam kenyataan pada Selasa

Beliau berkata, 15 lagi kes yang tidak bergejala pula terus berada di rumah dan diawasi oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Yan.

“Sementara itu, seramai 41 individu diletakkan di bawah pengawasan (PUS) tinggal di rumah dan diawasi secara bersepadu oleh pasukan pemantauan PDRM bersama agensi penguatkuasa lain dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Yan.

“Penduduk di daerah Yan adalah seramai 78,000 orang dengan 53,500 daripadanya berumur 18 tahun ke atas. Hingga semalam, seramai 39,560 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dan 23,900 orang telah lengkap menerima dos kedua,” katanya.

Sementara itu, Dr Othman berkata, hasil penilaian risiko oleh PKD Yan mendapati risiko jangkitan penyakit bawaan air banjir adalah rendah dan tiada laporan keracunan makanan diterima.

Artikel Berkaitan:

“Bagi tindakan pencegahan, PKD Yan telah mengambil tindakan segera termasuk lawatan ke rumah semua kes Covid-19 dan PUS bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat, penilaian kesihatan fizikal dan psikososial yang terlibat dalam kejadian banjir,” katanya.

Beliau berkata, PKOB Daerah Yan juga telah membuat ketetapan supaya semua badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja sukarela di Yan perlu lengkap divaksin dan membuat saringan Covid-19. - Bernama