X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Enam runtuhan tanah dikesan di Gunung Jerai

JMG mengesan enam runtuhan tanah berskala kecil di kawasan lereng Gunung Jerai selepas tujuh hari kejadian fenomena kepala air berlaku di situ.
A
A

YAN - Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesan enam runtuhan tanah berskala kecil di kawasan lereng Gunung Jerai selepas tujuh hari kejadian fenomena kepala air berlaku di situ.

Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG, Dr Ferdaus Ahmad berkata, runtuhan itu dikenal pasti berdasarkan kajian lapangan dilakukan pihaknya pagi tadi dengan mendapati saiz lebar runtuhan itu antara tiga hingga empat meter sahaja.

"Kami dapati proses runtuhan itu masih lagi berlaku dipercayai kesan daripada kejadian fenomena kepala air ini...sewaktu kejadian itu keadaan tanah belum tepu, namun selepas itu bila ada hujan beberapa hari ini termasuk semalam menyebabkan tanah menjadi tepu dan berlaku sedikit runtuhan tanah," katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat tinjauan kesan runtuhan tanah akibat tragedi itu di sekitar kawasan Gunung Jerai yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob.

Sehubungan itu, Ferdaus meminta sesiapa sahaja yang menggunakan jalan di Gunung Jerai berkenaan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan tersebut bagi memastikan keselamatan masing-masing.

"Sekiranya berlaku keadaan hujan luar jangka kemungkinan terdapat runtuhan kecil lain dan kesan-kesan lain juga," katanya yang turut memaklumkan JMG mengkategorikan kawasan empat runtuhan tanah berskala besar dengan saiz lebar lebih 10 meter yang berlaku sebelum itu sebagai Zon Bahaya.

Ferdaus berkata, bagaimanapun pihaknya perlu menjalankan kajian dan siasatan di lapangan itu sebelum mengetahui jarak dan keluasan zon berkenaan keseluruhannya.

Beliau berkata, sesuatu kawasan tanah runtuh itu dikategorikan sebagai Zon Bahaya apabila antara lain mempunyai tanda tanah runtuh akan berlaku lagi dengan melihat sama ada terdapat retakan di sekeliling kawasan tanah runtuh itu ataupun menunjukkan terdapat bongkah batuan kurang stabil yang mempunyai potensi ancaman kepada kawasan tersebut.

Namun, Ferdaus berkata, Zon Bahaya itu tidak kekal sebaliknya ia hanya sementara untuk menunggu kerja baik pulih cerun dan mitigasi tertentu siap dilakukan yang turut melibatkan tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!