X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

3 lelaki ditahan disyaki ada kaitan kes bunuh penternak lembu

Kamarul Zaman (kiri) memeriksa lokasi kejadian pembunuhan dekat jalan utama Kongsi 14 pada Selasa.
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang penternak lembu yang ditemukan mati dengan kesan tikaman dan tembakan di Kongsi 14, Jalan Bukit Selambau di sini pada Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 18 hingga 34 tahun disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan terbabit.

Menurutnya, semakan awal mendapati kesemua suspek yang merupakan warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis masih menyiasat sama ada kejadian mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap mahupun dadah, setakat ini, kami tidak boleh membuat kesimpulan awal sehinggalah siasatan selesai," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian pembunuhan berkenaan di Kongsi 14, Jalan Bukit Selambau pada Selasa.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis masih mengesan beberapa individu lagi yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit.

Dalam kejadian itu, Kamarul Zaman berkata, suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa berdasarkan kesan yang terdapat pada bahagian depan dan belakang badan mangsa.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang penternak lembu ditemukan mati dipercayai ditembak ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mangsa berusia 38 tahun menunggang motosikal bersendirian dari kandang lembu ke rumahnya yang terletak kira-kira tiga kilometer.

ARTIKEL BERKAITAN: Penternak lembu ditemukan mati dipercayai ditikam, ditembak


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!