55 pekerja asing ditahan tinggal lebih masa, tiada dokumen

Sebahagian daripada pekerja asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu di kawasan perindustrian Nilai, pada Isnin.
Sebahagian daripada pekerja asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu di kawasan perindustrian Nilai, pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, menahan 55 pekerja warga asing dalam Ops Bersepadu di kawasan perindustrian Nilai pada Isnin.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, penahanan tersebut adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan di sebuah kilang pembuatan seramik, yang mempunyai 241 pekerja warga asing terdiri daripada warganegara Bangladesh dan Nepal.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat pekerja asing di kilang ini melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi masa, setelah pas lawatan kerja sementara mereka tamat tempoh antara enam bulan sehingga setahun.

"Terdapat juga kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 turut dikesan, kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,'' katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Pekerja kilang warga asing yang diperiksa di sebuah kilang dekat Nilai.
Pekerja kilang warga asing yang diperiksa di sebuah kilang dekat Nilai.

Menurut beliau, kesemua pekerja asing yang ditahan didapati tidak memohon untuk menyertai program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Operasi yang dijalankan pada jam 7.30 pagi itu diketuai oleh seorang pegawai kanan bersama 17 anggota.

Kennith Tan berkata, walaupun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang perlu dibiarkan berlaku.

Jelasnya, tangkapan dan pendakwaan tetap dilakukan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan.