X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Sidang DUN Perlis: Tiga agenda utama perbahasan

Azlan
A
A

KANGAR - Isu menangani pandemik Covid-19, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri Perlis akan menjadi agenda utama perbahasan sepanjang tiga hari Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, perkara tersebut telah dizahirkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada titah perasmian pada Selasa.

“Apa yang dititahkan oleh Tuanku Raja Perlis adalah memastikan agar kerajaan negeri memberi tumpuan kepada agenda menangani isu Covid-19 serta menjaga kebajikan rakyat terutama mereka yang terkesan akibat pandemik.

“Selain itu, agenda pembangunan negeri harus diteruskan sebagai pelan pemulihan keluar daripada kesan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita di luar dewan.

Tuanku Syed Sirajuddin sebelum ini berkenan menyempurnakan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks DUN Perlis di sini pada Selasa.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu berharap kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan mampu membawa kestabilan dalam iklim politik negara dan tumpuan kerajaan dapat diberikan kepada usaha menangani Covid-19.

“Saya yakin beliau (Ismail Sabri) mempunyai perancangan khusus bagi membawa negara ini keluar daripada keadaan sebelum ini (kemelut politik) yang memberi kesan serius kepada ekonomi,” katanya.

Ditanya mengenai harapan agar seorang daripada Menteri atau Timbalan Menteri dalam kabinet baharu kerajaan dilantik daripada Ahli Parlimen Perlis, Azlan berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri.

“Pelantikan ahli kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri, namun jika ada wakil dari Perlis dilantik sudah tentu ia bagus kerana dapat bercakap demi faedah negeri ini khususnya dalam aspek pembangunan,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!