X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Al-Quran panduan ketika berdepan detik sukar

Gambar hiasan.- Foto 123rf
A
A
SHAH ALAM - Al-Quran mengandungi panduan dan nilai yang wajib dijadikan rujukan oleh manusia dalam menghadapi segala cabaran dalam kehidupan.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail berkata, sumber wahyu dalam al-Quran telah pun menyampaikan pesan mengenai ujian yang bakal dihadapi oleh manusia.

Menurutnya, kitab suci umat Islam itu juga menyediakan panduan ketika berdepan ujian getir.

Beliau bagaimanapun berkata, hal itu hanya boleh disedari sekiranya manusia berusaha untuk memahami isi kandungannya.

“Misalnya, dalam surah al-Mulk, ada menceritakan mengenai kerajaan yang paling mantap iaitu kerajaan ALLAH SWT. Kalau kita lihat kerajaan ini ada pelbagai jenis daripada sekecil-kecil kerajaan dalam diri kita, keluarga dan sampailah ke peringkat negara.

“Jadi, kita nampak polemik yang berlaku sekarang ini memerlukan kepada masyarakat memahami bahawa tidak ada kerajaan yang paling mantap kecuali kerajaan daripada tuhan.

“Dengan pemahaman itu, kita harap rakyat Malaysia ambil nilai itu. Kita fahami bahawa kerajaan ALLAH SWT itu adalah yang paling stabil, penyayang dan berbudi. Jadi, kita tidak kisah orang buat apa pun, kita tetap terus berbudi dan penyayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Sinar Live bertajuk Malaysia #QuranHour: Formula berbudi dan penyayang yang disiarkan secara langsung di kesemua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Acara tahunan Malaysia #QuranHour ke-7 akan berlangsung 30 Ogos ini dengan tema Formula Malaysia Berbudi dan Penyayang.

Mengulas lanjut, ujar Fazrul, pendekatan program tersebut yang membincangkan sisi praktikal terdapat dalam al-Quran berupaya membantu peserta untuk lebih memahami nilai baik yang perlu diterapkan khususnya ketika menghadapi masa yang mencabar.

Katanya, program sedemikian juga diyakini mampu mengembalikan masyarakat kepada nilai berbudi dan berkasih sayang diajarkan dalam al-Quran yang dilihat amat diperlukan tidak kira waktu senang mahu pun susah.

“Kita bawakan Malaysia #QuranHour kerana kita yakin dengan program ini, kita mampu untuk mengembalikan masyarakat kepada nilai yang diajar dalam al-Quran.

“Bila nilai itu kita ambil daripada sumber wahyu pencipta, kita akan jadi lebih kalis musim’. Jika tidak, manusia ini dia akan ikut keadaan. Kalau dia rasa dapat lebih sikit, dia berkasih sayang.

“Tapi ada juga orang bila dapat pangkat dan duit lebih, dia jadi lebih kedekut, dia ikut musim,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!