Chong Wei dinasihat lapor cubaan rasuah kepada SPRM

 Jais
Jais
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dinasihatkan supaya melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung cubaan rasuah yang didakwa dilakukan seorang pegawai sukan Malaysia terhadap bekas pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat pada Sukan Asia Doha 2006.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kegagalan melaporkan aktiviti sedemikian adalah satu kesalahan di sisi undang-undang kerana ia bakal memberi impak yang cukup besar.

"Kegagalan melaporkan cubaan merasuah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.

"Seksyen 17 (1), Akta Pencegahan Rasuah 1997 juga memperuntukkan kesalahan dan hukuman yang sama kepada kes berlaku sebelum tahun 2009. SPRM mesti menyiasat dakwaan ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Pada Isnin, Chong Wei dilaporkan mengenali individu yang cuba menyogok lawannya, Taufik Hidayat, di peringkat separuh akhir Sukan Asia Doha 2006.

Kata beliau, pegawai sukan merangkap bekas pemain kebangsaan cuba merasuah jaguh Indonesia itu yang muncul juara selepas mengalahkan Lin Dan dalam penentuan pingat emas.

Jais berpendapat, masalah rasuah dalam bidang sukan bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia.

Masalah tersebut sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat serta industri sukan negara boleh terencat sekiranya masalah itu tidak dibanteras.

Artikel Berkaitan:

"Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur keputusan perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.

"MCW berpendapat bahawa isu rasuah dalam sukan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal.

"Tindakan segera Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengambil langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa adalah penting untuk memastikan ia tidak menjadi 'barah' kepada pembangunan sukan negara," katanya.

Sementara itu kata Jais, trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia kebiasaannya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang melibatkan kejohanan ternama, hadiah besar dan pertaruhan sama ada secara sah atau tidak.

Justeru tegas beliau, program kesedaran dan pendidikan antirasuah kepada atlet dan badan sukan perlu diperbanyakkan, bahkan pihaknya sedia menawarkan diri dan dilibatkan sama dalam program terbabit.