Pemimpin politik perlu jaga imej PM

MD ALWI CHE AHMAD
MD ALWI CHE AHMAD
A
A
A

KOTA BHARU - Semua pemimpin politik terutama dalam kalangan UMNO diingatkan supaya menjaga imej Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meraikan figura itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad mengingatkan perkara itu termasuk kepada ahli-ahli Parlimen agar tidak mengulangi sikap lama yang mengundang kemarahan rakyat.

Beliau berkata, walaupun ada keperluan dalam meraikan kedatangan Perdana Menteri di tempat masing-masing, namun perkara itu haruslah berpada-pada dan tidak menunjuk-nunjuk.

“Macam semalam tular di Kedah sampai berpuluh buah kereta ikut Perdana Menteri dan dalam kapal terbang lagi.

“Bagus meraikan, tapi ini membabitkan imej dan nama yang menyebabkan orang marah pada kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar dewan pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, kerajaan akan mengalami kesukaran untuk berdepan dengan rakyat sekiranya imej sebegitu kembali ditunjukkan.

“Orang akan kata, UMNO dah berkuasa macam tu lah. Jadi ini yang saya tegur dan bukannya saya cemburu.

“Perlu rai Perdana Menteri tapi bukan itu caranya, berkerumun ramai begitu sekali sehingga tular. Jadi tak payahlah, jagalah imej Perdana Menteri. Kita nak bertahan lama, jadi kena jaga imej parti kita.

Artikel Berkaitan:

“Perdana Menteri tak salah, takkan beliau nak halau, nak marah dan kitalah yang kena tolong jaga imej parti,” katanya.

Dalam pada itu, Md Alwi menjelaskan beliau sendiri tidak gembira melihat komen tidak baik daripada rakyat di media sosial berhubung perkara itu.

“Dari segi imej dah jadi seperti dulu, kalu Perdana Menteri datang, kena ikut sampai tiga batu.

“Biarlah rakyat yang jumpa, bergembira, bagus meraikan tapi jangan berlebih-lebih,” katanya.

Pada Isnin, tular gambar di media sosial yang memaparkan beberapa pemimpin UMNO mengiringi Perdana Menteri ketika melawat ke lokasi banjir dan fenomena kepala air di Kuala Muda dan Yan, Kedah sehingga menimbulkan situasi kurang senang dalam kalangan masyarakat.