Operasi pasar malam, pasar pagi dibenarkan di Pahang

Gambar kecil: Wan Rosdy Wan Ismail
Gambar kecil: Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN- Operasi pasar pagi, pasar malam, jualan but kereta dan pasar minggu bundle di negeri ini dibenarkan beroperasi berkuatkuasa pada Selasa.

Keputusan itu selaras keputusan kerajaan membenarkan operasi aktiviti peniagaan itu pada 16 Ogos lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, hanya pelanggan dengan status vaksinasi lengkap yang dibenarkan masuk dan mereka perlu menunjukkan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 sebagai bukti kepada petugas di pintu masuk.

"Waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari bagi pasar pagi manakala pasar malam dibenarkan bermula jam 3 petang hingga 9 malam.

"Bilangan peniaga dibenarkan hanya 50 peratus daripada kapasiti peniaga sedia ada untuk satu tapak.

"Kebenaran hanya diberikan kepada peniaga makanan, minuman dan komoditi asas sahaja," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Wan Rosdy, hanya peniaga yang berdaftar dan mempunyai lesen atau permit sah dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Bagai setiap gerai hanya dua petugas dibenarkan kecuali bagi perniagaan makanan melibatkan aktiviti menggoreng dan membakar, peniaga air kelapa dan martabak yang dibenarkan tiga petugas pada satu-satu masa.

"Hanya dua pelanggan sahaja dibenarkan masuk ke gerai jualan pada satu-satu masa namun tidak dibenarkan makan atau minum di gerai tersebut, kawasan lapang atau tempat letak kenderaan berhampiran tapak perniagaan terlibat," katanya.

Peniaga dan pelanggan ujar beliau, perlu mematuhi SOP sedia ada termasuk mendaftar masuk melalui buku pendaftaran atau melalui aplikasi MySejahtera, menggunakan pelitup muka dan sanitasi tangan.

"Golongan kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas berusia 70 tahun ke atas tidak digalakkan keluar bagi mengelak risiko jangkitan," katanya.

Menurut beliau, jika berlaku kes jangkitan di tapak perniagaan itu, operasinya akan ditutup selama tiga hari untuk kerja-kerja pembersihan.

"Melalui kebenaran operasi pasar malam dan pasar pagi ini, 15 lokasi pasar malam di Kuantan yang diberikan kelulusan melalui permit khas sebelum ini dibatalkan," katanya.