X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Kabinet baharu jangan libatkan 'kluster mahkamah'

Dr Mahathir
A
A

LANGKAWI- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa lantikan kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu dibuat dalam jumlah yang lebih kecil.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), tindakan berkenaan wajar dibuat selepas majoriti menteri dan timbalan menteri sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menunjukkan prestasi yang baik selain ada dalam kalangan mereka disifatkan sebagai hanya "memakan gaji buta".

"Saya harap tidak berapa besarlah (kabinet baharu), tak macam (semasa Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) punya Kabinet. Janganlah tunjuk jawatan menteri itu sebagai satu cara untuk sogok orang (bagi menyokong kita).

"Menteri (yang dilantik) sepatutnya ada kebolehan (tetapi) kita dapati menteri-menteri kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada kerja apa pun, tidak ada buat kerja, (dan hanya) dapat gaji sahaja, janganlah jadi macam tu," dakwa beliau.

Tambahnya, Ismail Sabri juga perlu mengelak daripada memberi jawatan di dalam kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada kumpulan yang digelar 'kluster mahkamah'.

Ditanya mengenai jawatan TPM, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan bahawa tidak ada seorang pun dalam kalangan Ahli Parlimen di blok kerajaan layak diangkat bagi jawatan berkenaan.

Ini termasuklah daripada kumpulan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang majoritinya dianggotai oleh golongan yang melompat parti.

"Saya cuma tahu siapa yang tidak patut jadi Timbalan (Perdana Menteri) iaitu 'geng kluster mahkamah', (kumpulan ini) tidak boleh ada dekat dengan kerajaan pun, sepatutnya mereka diasingkan dan sudah tentu tak boleh jadi Timbalan Perdana Menteri," ujarnya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi sempena Program #PulangKeLangkawi pada Selasa.

Pada Isnin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelasnya, senarai berkenaan terlebih dahulu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diumumkan.

Untuk rekod, barisan Kabinet bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai 70 orang menteri di bawah 32 portfolio berbeza yang diumumkan pada 9 Mac tahun lalu, menjadikan Kabinet tersebut mempunyai jumlah menteri tertinggi berbanding Perdana Menteri sebelumnya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 38 orang dilantik sebagai timbalan menteri dengan tujuh kementerian mempunyai dua orang timbalan menteri.-Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!