RM10.2 juta untuk tiga hospital berpakar di Pahang

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Pahang menerima peruntukan RM10.2 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi perolehan peralatan perubatan dalam menangani kes Covid-19 kritikal di tiga hospital berpakar tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM4.8 juta diagihkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh (RM3.8 juta) dan Hospital Lipis (RM1.6 juta).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, ia berikutan berlaku peningkatan kes kritikal Covid-19 yang memerlukan perkhidmatan rawatan ditingkatkan di unit rawatan rapi (ICU) tiga hospital berpakar tersebut.

Menurutnya, daripada 11 hospital di negeri ini hanya empat hospital berpakar sahaja yang mempunyai ICU.

"Keseluruhan katil ICU di hospital di negeri ini berjumlah 107 katil dan 61 daripadanya dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

"Berdasarkan pecahan, HTAA mempunyai 61 katil ICU dan 37 dikhaskan untuk rawatan Covid-19, HoSHAS ( 36 katil, 20 untuk Covid-19), Hospital Lipis (enam katil, empat untuk Covid-19) dan Hospital Pekan (empat katil)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Kali Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Norol Azali berkata, terdapat 80 katil rawatan Covid-19 di lima hospital swasta di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagaimanapun hanya lapan katil ICU disediakan di dua hospital swasta di negeri ini iaitu di Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota (tujuh katil) dan Hospital KPJ ( satu katil).

Sementara itu katanya, bagi kes kematian pesakit Covid -19 di ICU, sebanyak 166 kematian direkodkan daripada 394 kes kematian bagi pesakit Covid-19 seluruh negeri sehingga 20 Ogos lalu.

"Daripada keseluruhan kes kematian di ICU itu, 117 kes direkodkan di HTAA, HoSHAS (46 kes) dan Hospital Kuala Lipis (tiga kes)," katanya.